Saturday 6 August 2011

IMAM SYAFIE TERANGKAN HAL BIDAAH


Imam Syafi’e Berkata Tentang Bid’ah
Al-Hafidz Abu Nu’aim rahimahullah meriwayatkan sanadnya dari Ibrahim al-Junaid yang berkata, Harmalah bin Yahya berkata kepada kami; aku mendengar Imam Syafi’e berkata,

البدعة بدعتان بدعة محمودة وبدعة مذمومة فما وافق السنة فهو محمود وما خالف السنة فهو مذموم واحتج بقول عمر بن الخطاب في قيام رمضان نعمت البدعة هي



“Bid’ah itu ada dua, bid’ah yang mahmudah (terpuji) dan bid’ah yang mazhmumah (tercela). Apa yang menepati dengan sunnah maka ia terpuji dan apa yang menyelesihi sunnah maka ia adalah tercela.” Kemudian Imam Syafi’e berhujjah dengan perkataan Umar al-Khaththab tentang solat terawih di bulan ramadhan, “Bid’ah yang terbaik adalah ini.” (Al-hilyatul auliya’ 3/119 –Syamilah-)
Perkataan Imam Syafi’e ini menyatakan bahawa bid’ah itu terbahagi kepada dua. Apa-apa yang menepati/selaras dengan as-sunnah maka ianya bid’ah yang terpuji dan tidak dicela, dan apa-apa perkara yang menyelisihi as-sunnah maka ianya tercela. Ini apa yang difahami oleh saya dari perkataan Imam Syafi’e.
Ada baiknya kita merujuk kepada perkataan ulama yang ahli dalam ilmu dan lebih mengerti perkataan ulama yang lain kerana kapasiti ilmu yang dimiliki oleh mereka dan juga ribuan helaian muka surat kitab-kitab yang telah ditelaah oleh mereka dalam memahami cabang-cabang ilmu syari’e ini.
Saya bawakan perkataan al-Hafidz Ibnu Rajab al-Hanbali ketika menjelaskan makna perkataan Imam Syafi’e. Ibnu Rajab berkata

ما ذكرناه من قبل أن أصل البدعة المذمومة ما ليس لها أصل في الشريعة ترجع إليه وهي البدعة في إطلاق الشرع وأما البدعة المحمودة فما وافق السنة يعني ما كان لها أصل من السنة ترجع إليه وإنما هي بدعة لغة لا شرعا لموافقتها السنة

“Apa yang kami sebutkan tentang perkataan Imam Syafi’e sebelum ini, ushul bid’ah mazhmumah (yang tercela) itu adalah, apa saja yang tidak mempunyai asal-usul (landasan hukum) di dalam syariat. Itulah bid’ah dari segi makna (yang dimaksudkan) syariat –atau dikenal disebut dengan bid’ah syar’iyah-. Dan bid’ah mahmudah (terpuji) pula adalah apa yang menepati sunnah yakni apa saja yang mempunyai asal (landasan hukum) dari sunnah maka ia dikembalikan kepada makna bid’ah lughawi bukan dengan makna bid’ah syarie kerana ia selaras/menepati dengan sunnah.” (Jami’ul ‘Ulum wal Hikam 1/267)
Bid’ah lughawi ini adalah bid’ah yang dibenarkan untuk diamalkan serta dilaksanakan dan inilah yang dinamakan bid’ah mahmudah. Ianya tidak tercela sebagaimana bid’ah syar’iyah iaitu perkara-perkara yang bertentangan dengan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Di mana bid’ah syar’iyah ini sangat dicela dan ditolak sama sekali di dalam islam.
Namun sebahagian manusia menjadikan setiap perkara baru atau amalan-amalan yang tidak terdapat di dalam sunnah bahkan bertentangan dengannya, mereka memasukkan bid’ah yang mereka lakukan ini ke dalam ruang lingkup bid’ah mahmudah dengan beralasan dengan perkataan Imam Syafi’e.
Di sini kita dapat melihat kesalahfahaman mereka memahami maksud Imam yang agung ini berkaitan dengan bid’ah kerana apabila sebahagian ulama atau du’at (pendakwah) menasihati amalan-amalan bid’ah yang tertolak ini supaya jangan dilakukan, maka mereka mencela nasihat para ulama dan du’at tersebut bahkan mereka menambah-nambahkan lagi segala macam bentuk amalan yang didaftarkan atas nama bid’ah mahmudah.
Golongan seperti ini sangat benci terhadap orang-orang yang mengajak untuk berpegang kepada sunnah nabawiyah yang suci dan sebaliknya mereka mengajak umat islam untuk berkutat (bergelumang) dengan bid’ah ‘mahmudah’nya atau istilah yang sering digunakan sekarang bid’ah hasanah. Sedangkan bid’ah yang seperti mereka lakukan adalah bid’ah yang sesat berdasarkan kepada nash-nash yang shahih dari al-Quran dan Sunnah serta perkataan para sahabat Nabi.
Kesalahfahaman mereka terbukti benar berdasarkan dari riwayat yang dibawakan oleh Ibnu Rajab di dalam kitabnya Jami’ul ‘Ulum wal Hikam dalam menysarahkan hadist yang ke-28. Telah diriwayatkan dari Imam asy-Syafi’e perkataan yang menjelaskan lagi maksud beliau perkataan bid’ah mahmudah dan mazhmumah, dia berkata

المحدثات ضربان ما أحدث مما يخالف كتابا أو سنة أو أثرا أو إجماعا فهذه البدعة الضلالة وما أحدث فيه من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا وهذه محدثة غير مذمومة

“Hal-hal yang baru yang diada-adakan terbahagi kepada dua. Perkara baru yang menyelisihi Kitab atau sunnah, atau atsar (perkataan para sahabat) atau ijma’, maka inilah bid’ah dholalah (sesat). Dan perkara-perkara kebaikan yang tidak menyelisihi satu pun dari apa yang telah disebutkan, maka inilah bid’ah yang tidak tercela.” (Jami’ul ‘Ulum wal Hikam 1/267)
Perkataan Imam Syafi’e ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Manaqibu asy-Syafi’e 1/468-469 dan beliau mensahihkannya. Perkataan yang sama dinukilkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam kitab nya Fathul Bari ketika mensyarahkan hadits Imam Bukhari di Kitab al-I’tishom bil kitabi was sunnah dalam bab ‘Qauluhu babun al-Iqtidaa`u bisunani rasulillahi shallallahu ‘alaihi wa sallam’ 13/253.
Jadi, sangat besar kesalahan orang yang menyandarkan bid’ah hasanah yang mereka lakukan dengan hakikat sebenar perkataan Imam Syafi’e tentang bid’ah. Dan kesalahan kedua mereka adalah mendahulukan perkataan Imam Syafi’e dengan segala nash-nash yang shahih yang menerangkan tentang bid’ah dan tercelanya perbuatan tersebut.
Mudah-mudahan orang-orang yang masih beranggapan bahawa wujud bid’ah hasanah dalam segala macam bentuk ibadah berfikir sejenak dan mahu rujuk kembali kebenaran, bahawasanya tidak ada bid’ah hasanah di dalam ibadah.
Jika ada yang bertanya: Kedua-dua perkataan Imam Syafi’e yang dinyatakan tadi masih lagi tidak menolak perbuatan bid’ah hasanah yang dilakukan oleh orang kebanyakan pada hari ini contohnya seperti Zikir jama’ie, yasinan dan lain-lain kerana seluruhnya adalah kebaikan. Bukankah amalan-amalan tadi mengajak kepada mengingati Allah dan menambahkan lagi ibadah kepada-Nya.
Jawapan:
Apa yang ditanyakan tadi berkaitan dengan seluruh amalan bid’ah hasanah yang dilakukan oleh mereka adalah untuk mencari kebaikan, di sini timbul persoalan. Kebaikan menurut siapa? Menurut pembuat Syariat yakni Allah atau pada pandangan kamu sendiri.
Jika mereka berkeyakinan bahawa amalan bid’ah hasanah mereka itu bertujuan untuk kebaikan dengan harapan ianya dapat mendekatkan diri pada Allah, makanya di sini dia telah bersangka-sangka. Mereka membuat sangkaan bahawa itu semuanya baik –bersangka baik-. Sedangkan sangkaan mereka itu membawa kepada ketetapan suatu amalan. Contoh, mereka mengatakan zikir jama’ie itu dibolehkan dan diperlukan pada zaman sekarang kerana kelalaian manusia dalam kehidupan mereka, jadi perlu berzikir secara berjemaah selepas solat fardhu, atau di majlis-majlis. Di sini mereka telah menetapkan umat supaya beramal dengan amalan-amalan tersebut berdasarkan sangkaan mereka.
Hal ini dibantah denga firman Allah Ta’ala: “Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tak ada ketetapan yang menentukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih” (QS. asy-Syu’araa 42:21)
Lihat perkataan Imam Syafi’e:

من استحسن فقد شرع

“Barangsiapa yang menganggap baik (bid’ah hasanah), maka dia telah menetapkan syariat.”(Al-Umm, Kitabul Ibtholul Istihsan jil. 7 ms. 313-320)
Dari perkataan Imam Syafi’e sendiri telah jelas membantah argumen orang-orang yang menganjurkan bid’ah hasanah versi mereka. Akhir sekali, perkataan Imam Syafi’e di atas jelas menunjukkan bahawa Imam Syafi’e berlepas diri dari bid’ah hasanah yang dimaksudkan oleh aktivis-aktivis bid’ah hasanah.

No comments:

Post a Comment