Thursday, 18 August 2011

100 HADIS PALSU


100 HADIS DHA'IF DAN PALSU
YANG MASYHUR
DI KALANGAN MASYARAKAT



Inilah koleksi 100 Hadis Dha'if dan Palsu yang telah dihimpunkan oleh Syeikh Ihsan bin Muhamad bin 'Ayis al-Utaibi. Telah selesai usaha penterjemahan ke Bahasa Melayu pada 9/3/2003. Tujuan penterjemahan Koleksi 100 Hadis Dha'if dan Palsu ini adalah untuk mendidik diri kita sendiri agar berhati-hati terhadap periwayatan Hadis Dha'if dan Palsu. Di samping itu ia juga akan cuba disebarkan kepada orang ramai melalui media internet, samada melalui web, forum, senarai mel atau sbgnya. Tujuannya adalah untuk mendidik masyarakat serta memberi peringatan kepada mereka tentang mara bahaya Hadis Dha'if dan Palsu. Agar mereka dapat menjauhkan diri dari meriwayatkannya dan mengamalkannya. Ini adalah 100 buah hadis Dha'if dan Maudhu' yg tersebar luas di kalangan khatib/penceramah/pendakwah. Hadis Shahih sudah memadai tanpa perlu mengambil hadis Dha'if.



ASAL USUL HADIS PALSU
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Kebanyakkan umat Islam di Malaysia pasti akan pernah mendengar kalimat kata-kata seperti “Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China”, “Perselisihan dalam umatku dalah rahmat”, “Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku, sedangkan Ramadan adalah bulan umatku” atau "Sesiapa yang mengenal dirinya maka dia telah mengenal tuhannya". Ini adalah kerana ianya telah disebarkan di kalangan masyarakat Islam oleh sesetengah penceramah dan penulis buku agama dan mereka sandarkannya sebagai sabda Nabi Muhammad s.a.w.. Namun begitu tahukah anda bahawa kalimat-kalimat tersebut merupakan hadis palsu (mawdhu’)? Hadis palsu adalah sesuatu yang diciptakan dan dibuat-buat lalu dinisbatkan kepada Rasulullah s.a.w. secara dusta baik mengenai ucapannya, perbuatannya mahupun perakuannya. Para ulamak juga telah sepakat diharamkan untuk meriwayatkan hadis palsu bagi mereka yang mengetahuinya dalam bentuk apa pun kecuali disertai dengan penjelasan akan kepalsuan hadis tersebut. Dalil yang mengharamkan periwayatan hadis palsu adalah sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya berdusta di atas (nama)ku tidaklah sama dengan dengan berdusta kepada orang lain. Maka barangsiapa yang berdusta di atas (nama)ku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka” – Hadis riwayat Imam Bukhari (no: 1291) dan Muslim (no: 4) di dalam kitab Shahih mereka.

Namun begitu amat mendukacitakan apabila amaran keras daripada baginda s.a.w. ini tidak di ambil peduli oleh sesetengah pihak termasuk di kalangan para ustaz dan ustazah. Bagi orang awam yang memiliki ilmu yang minimal dalam bidang hadis pasti akan menerima bulat-bulat hadis-hadis palsu tersebut dan menganggap ianya benar-benar datangnya daripada Rasulullah s.a.w. lalu mengamalkannya. Maka bertebaranlah amalan-amalan bidaah serta fahaman-fahaman yang sesat di tengah-tengah masyarakat.

Melihatkan wujudnya ancaman yang keras daripada baginda, maka perlu bagi umat Islam untuk mengetahui ciri-ciri yang terdapat di dalam hadis palsu agar mudah kita mengesannya. Hadis palsu ini dapat dikenal pasti melalui kecacatan yang terdapat pada sanad (rangkaian para perawi yang menyampaikan hadis tersebut) mahupun matannya (isi kandungan hadis tersebut). Di antara ciri-ciri untuk mengenali hadis palsu adalah:

a) Pengakuan dari mereka yang memalsukan hadis tersebut. Sebagai contohnya Tatkala Ibnu Abi Al-Auja’ ditangkap dan hendak dipenggal lehernya dia telah berkata: “Aku telah membuat di antara kamu empat ribu Hadis yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.”

b) Terdapat petunjuk bahawa perawi tersebut termasuk kalangan pedusta dan hadis tersebut tidak diriwayatkan oleh perawi lain. Sebagai contohnya perawi dari kalangan pengikut Syi’ah al-Rafidhah seperti Abu Mikhnaf.

c) Perawi hadis tersebut mengaku secara dusta bahawa dia telah mengambil riwayat daripada seseorang yang tidak pernah ditemuinya. Hal ini boleh diketahui melalui tarikh lahir dan wafat seseorang perawi mahupun tempatnya bermukim. Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar Hadis daripada Hisyam bin ‘Amman abang kepada Ibnu Hibban, maka Ibnu Hibban bertanya: “Bilakah engkau ke kota Syam?” Ma’mun menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibnu Hibban berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.” Dari sini dapat diketahui bahawa Ma’mun sebenarnya tidak pernah bertemu dengan Hisyam.

d) Apabila seorang perawi itu mengaku bahawa Nabi s.a.w. telah melakukan sesuatu perkara di hadapan para sahabat yang lain, tetapi mereka bersepakat untuk menyembunyikan perkara tersebut dan tidak menyebarkannya. Sebagai contohnya hadis palsu ini: “Sesugguhnya Rasulullah s.a.w. meraih tangan ‘Ali bin Abi Thalib r.a di hadapan seluruh sahabat. Mereka baru sahaja tiba dari melaksanakan haji wada’. Lantas Nabi (membuat ‘Ali) berdiri ditengah-tengah mereka sehingga dapat dilihat oleh semua hadirin. Kemudian baginda bersabda: “Ini adalah waashiku (orang yang menerima wasiat) dan saudaraku serta khalifah (orang yang menggantikan) setelah aku. Maka dengarkanlah oleh kamu semua (perkataannya) dan taatilah (perintahnya).”

e) Hadis tersebut bercanggah dengan ajaran al-Qur’an ataupun hadis yang sabit daripada Rasulullah s.a.w.. Sebagai contohnya hadis palsu: “Anak Zina tidak akan masuk ke syurga sampai tujuh keturunan” yang bercanggah dengan firman Allah S.W.T.: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). – al-An’aam (6) : 164


f) Hadis tersebut bertentangan dengan logik akal serta nilai-nilai keilmuan seperti hadis palsu dengan lafaz ini: “Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu.” Termasuk dalam kategori ini adalah hadis-hadis tentang khasiat sesuatu bahan makanan terhadap kesihatan manusia namun ianya ternyata bercanggah dengan ilmu perubatan seperti hadis palsu ini: “Buah terung itu adalah penawar bagi segala penyakit.”

g) Susunan kata-kata dalam hadis tersebut tidak mencerminkan ianya keluar dari mulut seorang Nabi yang mana Allah s.w.t. telah berfirman:

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. – al-Najm (53) : 3-4

Misalnya hadis palsu ini: “Melihat wajah yang tampan itu boleh mempertajamkan pandangan mata.”

h) Matan hadis tersebut mencemari sifat-sifat Allah yang maha sempurna dari sebarang bentuk kecacatan dan tidak menyerupai makhluknya seperti hadis palsu ini: “Bahawasanya Allah s.w.t. menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Dia menciptakan dirinya dari kuda itu.” Termasuk dalam hal ini adalah menceritakan tentang perbuatan Allah s.w.t. secara tidak benar seperti hadis: “Sesungguhnya Allah telah menciptakan langit dan bumi pada hari ‘Asyuraa.”

i) Hadis yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil. Sebagai contohnya hadis palsu yang berbunyi: “Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama dari membina seribu jamek (masjid).”

j) Hadis yang menunjukkan amal ibadah yang melampau serta menyusahkan seperti solat tanpa henti semalaman dan memilki jumlah rakaat ratusan bahkan mencecah ribuan seperti solat al-Raghaaib pada hari Jumaat yang pertama dalam bulan Rejab, zikir-zikir yang mencecah ribuan kali dan dilakukan pula tidak sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. seperti berteriak serta menari-nari. Sebagai contohnya adalah hadis palsu: “Jangan kalian melalaikan Jumaat pertama pada bulan Rejab kerana sesungguhnya Jumaat pertama pada bulan Rejab adalah malam yang dinamakan malaikat dengan malam raghaaib.”

k) Hadis yang menunjukkan sifat perkauman serta mencela kaum yang lain seperi hadis palsu: “Rasulullah melihat makanan, lantas baginda bersabda: “Milik siapa ini?” Al-Abbas berkata: “Milik orang-orang Habsyah, (makanan) milik mereka.” Rasulullah bersabda: “Jangan kamu lakukan (berikan), Sesungguhnya mereka jika lapar akan mencuri dan jika kenyang akan berzina.”

l) Hadis yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan yang kecil. Umpamanya: “Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat, maka hendaklah dia masuk Neraka selama tujuh puluh tahun.”

Penulis yakin pada saat ini para pembaca sudah mula sedar betapa jeleknya hadis-hadis palsu ini dan telah maklum amaran keras daripada Rasulullah s.a.w. bagi mereka yang menyebarkannya. Tentu akan bermain-main di fikiran para pembaca tentang siapakah yang tergamak untuk memalsukan hadis-hadis Nabi ini. Maka berikut penulis akan senaraikan golongan yang bertanggung jawab memalsukan hadis-hadis Nabi.

a) Mereka yang memalsukan hadis dalam rangka mengajak manusia ke arah kebaikan dan menghindari kemungkaran. Dalam satu kajian teliti yang dibuat oleh Mu’ammal bin Ismail, beliau telah menemui orang yang membuatnya. Kata beliau: “Aku telah diriwayatkan Hadis ini oleh seorang Syeikh, lalu aku bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Syeikh itu menjawab: “Seorang laki-laki di Madain, dia masih hidup.” Aku pergi menemui laki-laki itu lalu bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Orang itu menjawab: “Saya telah diberitahu oleh seorang Syeikh di Wasith.” Aku pergi menemuinya dan berkata: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Dia menjawab: Seorang Syeikh di Abadan. Saya pergi menemui Syeikh itu bersama-sama dengan Syeikh dari Bashrah tadi. Dia memegang tanganku lalu membawaku masuk ke dalam sebuah rumah, tiba-tiba aku dapati kaum sufi yang berada dalam rumah itu dan bersama-sama mereka ada seorang Syeikh mereka. Saya bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan hadis ini kepada anda?” Syeikh itu menjawab: “Tiada sesiapapun yang meriwayatkan hadis itu kepadaku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh dari Al-Quran lantas kami buatlah hadis ini untuk mereka bagi memalingkan hati mereka kepada Al-Quran”.”

Mereka berpandangan tidak menjadi kesalahan untuk menyebarkan riwayat-riwayat palsu asalkan sahaja kandungan hadis tersebut membawa ke arah kebaikan. Pada tanggapan mereka kedustaan yang mereka lakukan hanyalah semata-mata untuk membantu agama Allah. Adakah mereka ini merasakan ayat-ayat al-Qur’an serta hadis-hadis Nabi tidak cukup sempurna untuk dijadikan landasan bagi tarhib dan targhib? Ternyata pemikiran rosak ini berpangkal dari kejahilan mereka terhadap syari’at Islam. Berpunca daripada tangan-tangan kotor mereka inilah maka banyak amalan-amalan bidaah tersebar dalam masyarakat. Amalan bidaah ini pernah dicela oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah) dan setiap yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat. - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 867

b) Para tukang cerita atau lebih dikenali sebagai al-Qashshaash yang mencipta hadis-hadis palsu agar orang ramai merasa tertarik dengan ceramah yang disampaikan. Apabila dia berjaya menarik perhatian orang ramai maka tentu dia akan mendapat banyak jemputan untuk berceramah dan semakin banyak pula upah yang akan diterima. Di antara contoh golongan ini adalah Maisarah bin Abdu Rabbih. Ketika ditanya: “Dari mana anda dapatkan hadis-hadis ini?” Dia menjawab: “Aku memalsukannya untuk menggembirakan orang.”


c) Para peniaga yang ingin melariskan jualannya maka diciptakan hadis-hadis palsu yang menunjukkan khasiat barangan jualannya tersebut. Sebagai contoh kita melihat mereka yang menjual ubat-ubatan berasal dari daging Dhab, maka dia membawa riwayat-riwayat yang menunjukkan ianya adalah perubatan Nabawi. Sedangkan Rasulullah s.a.w. tidak makan daging dhab.

Telah berkata Khalid bin Walid: “Ya Rasulullah adakah haram memakan dhab?”
Rasulullah bersabda: “Tidak, tetapi ia bukan makanan bagi kaumku, maka aku tidak memakannya.”
“Makan dihidangkan dhab kepada Khalid lalu dia memakannya sedangkan Rasulullah s.a.w. melihat (Khalid memakannya). - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, no: 4242
Hal yang sama kita dapat bagi mereka yang menjual tasbih yang diperbuat dari kayu koka, kismis jampi, capal Nabi dan air jampi yang kini telah dikilangkan dan dijualkan secara komersial. Tanpa segan-silu mereka telah meriwayatkan perkara yang palsu tentang fadilat barang jualan mereka dan ianya secara tidak langsung telah menyebabkan orang ramai sanggup berhabisan wang ringgit demi untuk mencapai fadilat palsu tersebut.

d) Golongan zindik dan munafik yang berpura-pura menjadi orang Islam bertujuan untuk merosakkan Islam dari dalam dengan membuat banyak hadis-hadis palsu. Golongan ini dikatakan telah membuat empat belas ribu hadis palsu. Abdul-Karim bin al-Auja’ sahaja telah mengaku membuat empat ribu hadis mengenai halal dan haram. Mereka ini telah membuat hadis-hadis yang menyebarkan keyakinan yang syirik, amalan-amalan bidaah, manganjurkan perkara mungkar, perkara yang melemahkan umat Islam dan lain-lain. Lihat bagaimana akidah sesat yang dibangunkan di atas dalil-dalil palsu namun ianya masih di amalkan dalam masyarakat kita seperti fahaman Nur Muhammad, Wahdatul Wujud dan Tawasul di kuburan. Ini semua adalah hasil dari serangan yang dilakukan oleh golongan zindik dan munafik melalui riwayat-riwayat palsu.

e) Kelompok fanatik mazhab juga akan mencipta hadis-hadis palsu demi untuk meninggikan kedudukan imam mazhab mereka serta menguatkan pendapat-pendapatnya. Sebagai contoh di kalangan pengikut fanatik mazhab Hanafi mereka mencipta hadis palsu untuk memburuk-burukan Imam al-Syafi’i r.h. Hadis palsu tersebut memiliki lafaz begini, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (Imam al-Syafi’i) yang akan mendatangkan kerosakan kepada umat ku lebih buruk daripada iblis dan akan muncul pula di kalangan umat ku seorang lelaki bernama Abu Hanifah yang akan menjadi cahaya penyuluh umat aku.”

Penipuan serta pemalsuan sebegini juga merupakan budaya hidup kelompok Syi’ah. Maka tidak hairanlah sekiranya mereka inilah golongan yang paling banyak memalsukan hadis untuk menyokong pegangan mazhabnya yang sesat. Imam Malik r.h ketika di tanya tentang mereka beliau menyatakan: “Jangan mengajak berbicara dengan mereka dan jangan meriwayatkan daripada mereka kerena mereka adalah para pendusta.” Sebagai contohnya untuk menghina para sahabat mereka telah membuat riwayat palsu seperti ini: “Daripada Abu Ja’far yang berkata: “Semua manusia itu telah murtad setelah wafatnya Nabi kecuali 3 orang.” Aku bertanya: “Siapakah yang 3 orang itu?” Maka jawabnya : “Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Dzarr al-Ghifari dan Salman al-Farisi.”

f) Terdapat juga mereka yang sengaja membuat hadis palsu demi untuk mendekatkan diri kepada penguasa bagi mendapat ganjaran duniawi. Ini adalah seperti kisah Ghiath bin Ibrahim An-Nakha’ie Al-Kufi pada satu hari datang berkunjung ke istana Al-Mahdi. Di kala itu Al-Mahdi sedang bermain burung dara (merpati) kerana beliau sangat suka dengan burung-burung merpati itu. Maka berkatalah Ghiath:

“Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada pertaruhan melainkan pada anak panah, unta atau kuda, ataupun burung.”
Hadis yang dibawa oleh Ghiath adalah benar, tetapi tambahan perkataan “ataupun burung” itu adalah perkataan Ghiath sendiri untuk tujuan membodek al-Mahdi. Al-Mahdi memahami maksud Ghiath itu lalu disuruh supaya Ghiath diberi hadiah. Dan setelah Ghiath pergi, maka Al-Mahdi berkata: “Aku naik saksi atas engkau, bahawa engkau adalah seorang pendusta terhadap Rasul.” Dan kemudian dia berkata pula: “Akulah yang mendorongnya berbuat demikian. Al-Mahdi kemudian menyuruh supaya burung merpati itu disembelih.”

g) Ada juga golongan yang mencipta hadis palsu bermotifkan politik. Sebagai contohnya ketika terjadi perselisihan di antara Muawiyah bin Abi Sufiyan dan ‘Ali bin Abi Talib maka banyak riwayat-riwayat palsu dicipta demi untuk menguatkan pihak yang disokong mereka. Bagi penyokong ‘Ali mereka membuat hadis palsu: “Apabila kamu melihat Mu ‘awiah di atas mimbarku, maka bunuhlah akan dia.” Bagi mereka yang menentang ‘Ali maka mereka mencipta hadis palsu: “Tidak ada satu pohon pun dalam Syurga kecuali tertulis atas tiap-tiap daunnya “Tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t. dan Muhammad itu pesuruh Allah s.w.t.”, Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar al-Faruq dan ‘Uthman Zun-Nuraini.”

Begitu juga bagi pengikut kerajaan Bani ‘Abbasiyah mereka mengeluarkan hadis palsu ini : “’Abbas itu ialah orang yang memelihara wasiatku dan ahli warisku.” Bagi pengikut bani Umayyah pula mereka meriwayatkan hadis palsu ini: “Orang-orang yang kepercayaan itu ada tiga orang; Aku (Muhammad), Jibril dan Mu’awiah.”

Demikianlah beberapa contoh golongan yang secara sengaja menempah tempat duduk mereka di neraka dengan mencipta hadis-hadis palsu. Penulis yakin setelah melihat ciri-ciri hadis palsu serta golongan yang bertanggungjawab menciptanya maka sedikit-sebanyak kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh hadis palsu ini terhadap masyarakat akan jelas terbayang di minda para pembaca. Menyedari hakikat ini para ulamak hadis semanjak zaman berzaman telah merumus serta menerapkan kaedah-kaedah ilmu hadis demi untuk memudahkan umat Islam mengenali hadis-hadis palsu tersebut. Di antara karya-karya cemerlang warisan ulamak hadis adalah seperti al-Dhu’afa karya Imam al-Bukhari, al-Dhu’afa wa al-Matrukun karya Imam al-Nasaa’i, Mizan al-I’tidal karya Imam al-Dzahabi, Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi, al-Maqaashid al-Hasanah Fii Bayaan Katsiir Min al-Ahaadiits al-Musytahirah ‘Ala al-Alsinah karya al-Hafidz as-Sakhawy, Taqrib al-Tahzib oleh al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, al-Laali’ah al-Mashnu’ah karya Imam as-Suyuthi, al-Maudhu’at oleh Ibnul Jauzi, Tanzihu al-Syari’ah al-Marfu’ah’An al-Ahadis al-Syari’ah al-Mawdhu’ah oleh Ibnu Iraq al-Kittani dan karya Syaikh al-Albani bertajuk Silsilah al-Hadis al-Dha’ifah wal al-Mawdhu’ah serta banyak lagi. Sewajarnya pihak yang bertanggungjawab di Malaysia ini menyambung warisan yang ditinggalkan oleh para ulamak hadis ini dengan menubuhkan sebuah Institusi Hadis peringkat kebangsaan yang akan memantau serta membasmi penyebaran hadis-hadis palsu mahupun lemah (dha’if) dalam segala bentuk sama ada secara penulisan mahupun lisan. Jumlah mereka yang pakar dalam bidang hadis di Malaysia sebenarnya adalah begitu sedikit dan ini juga membuka ruang untuk hadis-hadis yang palsu dan lemah dipergunakan secara semberono. Semoga dengan penubuhan institusi yang sedemikian rupa, ianya akan dapat melahirkan lebih ramai alim-ulamak dalam bidang hadis di negara kita Malaysia.


SENARAI 100 HADIS PALSU

1. Barangsiapa yang dengan solatnya tidak dapat mencegah fahsya' dan munkar, tidak akan bertambah daripada Allah melainkan semakin jauh dariNya. (Albani: Bathil & tidak sah dari sudut sanad dan matan)

2- Bercakap di dalam masjid dapat menghapuskan kebaikan-kebaikan sebagaimana binatang ternak memakan rumput. (Albani: Tidak ada asalnya)

3- Berkerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya. (Albani: Tidak sah dari Nabi s.a.w.)

4. Aku adalah datuk kepada setiap orang yang bertaqwa. (Albani: Tiada asalnya)

5- Hanyasanya aku dibangkitkan sebagai guru. (Albani: Dha'if)

6 . Ertinya: Allah telah mewahyukan kepada dunia: Berkhidmatlah kepada sesiapa yang berkhidmat kepadaKu dan sengsaralah kepada sesiapa yang berkhidmat kepadamu. (Albani: Maudhu')

7- Berhati2lah kamu terhadap Khadra' ad-Dimn/kehijauan kotoran binatang ternak. Baginda ditanya, "apakah khadra' ad-dimn itu? Sabdanya: Perempuan cantik yang tumbuh disuasana buruk (rupawan tetapi hatinya jahat). (Albani: Terlalu Dha'if)
8- Dua golongan dari kalangan umatku, apabila baik mereka maka baiklah manusia. Iaitu umara' dan fuqaha'. Di dalam satu lafaz lain, umara' dan ulama'. (Albani: Maudhu')

9- Bertawassullah dengan kemegahan dan kemuliaanku kerana sesungguhnya jah-ku di sisi Allah adalah agung. (Albani: Tiada asalnya)

10- Barangsiapa yang keluar rumah pergi solat dan mengucapkan: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan hak orang yang memohon kepadaMu dan aku memohon dengan hak perjalanan ini………… Allah akan mengadap wajahnya dan seribu malaikan akan memohon keampunan untuknya. (Albani: Dha'if)

11- Kebaikan ada padaku dan pada umatku hingga hari kiamat. (Ibnu Hajar: Aku tidak mengenalinya).

12. Barangsiapa yang tidur selepas Asar maka akan terganggulah akalnya. Maka janganlah dia mencela melainkan kepada dirinya sendiri. (Ibnu al-Jauzi di al-Maudhu'aat, al-Sayuthi di al-la'ali al-Masnu'ah & al-Zahabi di Tartib al-Maudhu'aat)

13- Barangsiapa yang berhadas dan tidak berwudhu' maka sesungguhnya dia telah memalingkan diri dariku. (Albani: Dha'if)

14- Barangsiapa yang berhaji ke Baitillah dan tidak menziarahiku, maka sesungguhnya dia telah memalingkan diri dariku. (al-Zahabi, al-Shaghani & al-Syaukani: Maudhu')

15-  Barangsiapa yang berhaji lalu menziarahiku selepas kewafatanku, dia seolah2 menziarahiku semasa aku hidup. (Albani: Maudhu')

16- Ikhtilaf di kalangan umatku adalah rahmat. (Albani: Tiada asalnya)

17. Para sahabatku adalah seperti bintang-bintang di langit. Mana2 yang kamu ikuti pasti akan mendapat petunjuk. (Albani: Maudhu')

18- Barangsiapa yang mengenali dirinya maka sesungguhnya dia telah mengenali tuhannya. (al-Asrar al-Marfu'ah & tazkirah al-Maudhu'aat: Maudhu')

19. Tuhanku telah mendidikku dan membaikkan adabku. (Ibn Taimiyah: Tiada isnad yg tsabit)

20- Semua manusia ibarat mayat kecuali orang-orang alim. Dan orang-orang alim semuanya binasa kecuali orang-orang yang beramal. Dan orang-orang beramal semuanya tenggelam kecuali orang-orang yang ikhlas. Dan orang-orang yang ikhlas semuanya dalam bahaya yang besar. (Al-Saghani: Maudhu')

21- Bekas mulut orang beriman adalah ubat. (Tiada asalnya)

22. Apabila kamu melihat bendera-bendera hitam yang keluar dari arah Khurasan, maka kamu datangilah walaupun dalam keadaan merangkak. Kerana sesungguhnya di situ ada khalifah Allah, al-Mahdi. (Dha'if)

23- Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. (Tiada asalnya)

24- Adapun aku tidak lalai, tetapi dilalaikan agar aku membimbing. (Tiada asalnya)

25- Manusia itu tidur, apabila mereka mati barulah mereka terjaga. (Tiada asalnya)

26- Barangsiapa yang berkata suatu perkataan, kemudian dia bersin, maka perkataannya itu adalah benar. (Maudhu')

27- Berkahwinlah dan jangan bercerai, maka sesungguhnya talak itu menggoncangkan Arasy. (Maudhu')

28- Sembahyang perlu diulang apabila ada darah sekadar satu dirham. (Maudhu')

29- Orang yang pemurah itu hampir dengan Allah, hampir dengan syurga dan jauh dari neraka. Orang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia dan hampir dengan neraka. Orang jahil yang pemurah itu lebih dicintai Allah daripada seorang ahli ibadah yang bakhil. (Terlalu Dha'if)

30- Aku berbangsa Arab, al-Quran berbahasa Arab dan lisan para ahli syurga adalah bahasa Arab.

31- Setiap sesuatu itu ada hatinya. Sesungguhnya hati al-Quran adalah Yasiin. Barangsiapa yang membacanya, maka seolah-olah dia membaca al-Quran sebanyak 10 kali. (Maudhu')

32- Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadah selama 60 tahun. (Maudhu')

33- Tiada sembahyang (tidak sah) bagi orang yang berjiran dengan masjid melainkan di masjid. (Dha'if)

34- Hajar al-Aswad adalah tangan kanan Allah di mukabumi ini yang berjabat dengan hamba-hambaNya. (Maudhu')

35- Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat. (Dha'if)

36- Jibril a.s. telah berpesan agar aku berbaik dengan jiran hingga 40 buah rumah. Sepuluh dari sini ke sana. Sepuluh dari sini ke sana. Sepuluh dari sini ke sana. Sepuluh dari sini ke sana. (Dha'if)

37- Kalau tidak kerana engkau (Muhamad), nescaya tidak aku jadikan dunia. (Maudhu')
38- Barangsiapa yang membaca surah al-Waqi'ah setiap malam, nescaya tidak akan ditimpa kefakiran selama2nya. (Dha'if).

39- Barangsiapa yang penumpuannya bukan kepada Allah, maka tiada lagi peliharaan dari Allah. Dan barangsiapa yang tidak memerhatikan urusan umat Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka. (Dha'if)

40- Sebagaimana keadaan kamu sekelian, maka seperti keadan itulah yang diberikan kepada orang yang memimpian kalian. (Dha'if)

41- Sebagaimana keadaan kamu sekelian, maka seperti keadan itulah yang diberikan kepada orang yang memimpian kalian. (Dha'if)

42- Barangsiapa yang dikurniakan anak, lalu diazankan ditelinga kanannya, dan di-iqamah di telinga kirinya, maka anak ini tidak akan diganggu oleh syaitan/jin. (Maudhu')

43- Barangsiapa yang berpegang dengan sunnah-ku ketika umatku dalam kerosakan, maka baginya seratus pahala mati syahid. (Terlalu Dha'if)

44- Orang yang berpegang dengan sunnah-ku ketika umatku dalam kerosakan, maka dia mendapat pahala mati syahid. (Dha'if)

45- Aku adalah anak dua calun yang disembelih (Abdullah bin Abdul Muttalib dan Ismail bin Ibrahim a.s.) – (Tiada asalnya)

46-  Melihat al-Quran itu ibadah, anak melihat ibubapanya adalah ibadah dan melihat kepada Ali bin Abi Thalib adalah ibadah. (Dha'if)

47- Barangsiapa yang bersembahyang dimasjid-ku selama 40 fardu tanpa tertinggal satu sembahyangpun, nescaya ditulis baginya kelepasan dari neraka dan azab serta bebas dari sifat munafiq. (Dha'if)

48- Sanak saudara itu lebih utama dilayan dengan baik. (Tiada asalnya)

49- Orang terakhir yang akan masuk syurga ialah seorang lelaki dari Juhainah. Dia bernama Juhainah. Ahli syurga bertanya: Apakah masih ada orang yang sedang diazab? Dia menjawab: Tiada. Ahli syurga berkata: Berita yang diyakini kebenarannya ialah yang dibawa oleh Juhainah. (Maudhu')

50Sebaik-baik nama ialah yang menghambakan diri dan memujiNya. (Maudhu')

51 - Tuntutlah ilmu sekalipun ke negeri China. (Maudhu')

52- Berbincanglah dengan mereka (perempuan), dan sanggahlah mereka. (Tiada asalnya)

53- Pada hari kiamat, manusia akan dipanggil dengan nama ibu mereka sebagai tabir dari Allah ke atas mereka (menutup rahsia anak zina). (Maudhu')

54-  Sultan adalah bayangan Allah di mukabumiNya. Barangsiapa yang setia kepadanya akan diberi petunjuk. Dan, barangsiapa yang mengkhianatinya nescaya akan sesat. (Maudhu')

55- Barangsiapa yang takut azab Allah, maka Allah akan menjadikan segala sesuatu takut kepadanya. Dan, barangsiapa yang tidak takut kepada Allah, maka Allah akan menjadikan takut terhadap segala sesuatu. (Dha'if)

56- Allah Taala berfirman: Barangsiapa yang tidak redha dengan qadha'-Ku dan tidak bersabar atas bala'-Ku, maka hendaklah dia mencari Tuhan selainKu. (Dha'if)

57- Tidak dinamakan mengumpat apabila membicarakan perihal orang yg fasiq. (Hadist Maudhu’)

58-  Apabila mati salah seorang drp kamu dan setelah selesai kamu mengebumikannya, maka hendaklah salah-seorang yang hadir itu berdiri di sisi kepalanya seraya berkata: Wahai Si Fulan ! Wahai Si Fulanah. Kerana dia (si mati) itu akan mendengarnya. Hendaklah yang bangun itu berkata lagi: Wahai Si Fulan Anak kepada Si Fulanah. Maka si mati itu akan bangun di dalam keadaan duduk. Sebutkanlah apa yang telah menyebabkan dia keluar daripada dunia iaitu syahadah LA ILAHA ILLAH WAHDAHU LA SYARIKALAH …sehingga akhir. (Hadis ini Dho’ief)

59- Tidaklah sia-sia orang yang melakukan solat istikharah , tidaklah menyesal bagi orang yang meminta pandangan orang lain dan tidaklah berlaku aniaya orang yang bersederhana. (Hadist Maudhu’)

60-  Baginda Rasulullah s.a.w apabila digunting rambutnya, ataupun mengerat kukunya ataupun jika Baginda s.a.w dibekam, maka Baginda s.a.w akan membawa lebihan tersebut – dari rambut, kuku dan darah yang dibekam – ke tanah perkuburan Baqie’ untuk ditanam. (Hadist Maudhu’)

61- Seorang mukmin yang cerdik itu sentiasa berhati-hati. (Maudhuk: Kasyful Khafa')

62- Wahai manusia sesungguhnya kamu berada di dalam bulan yang agung, bulan di mana di dalamnya lebih baik dari seribu bulan, menjadikan puasa di dalamnya sebagai fardu dan qiyamul lail sebagai ibadah.. (Dha'if, al-Ilal Ibnu Abi Hatim)

63-  "Wahai Jibril, ceritakan kepadaku tentang sifat neraka dan sifat jahannam?" Maka Jibril menjawab: "Sesungguhnya Allah Tabaraka Wa Taala telah memerintahkan jahannam supaya menyalakan apinya selama seribu tahun sehingga menjadi putih. Kemudian memerintahkannya lagi supaya menyalakan apinya selama seribu tahun sehingga menjadi merah. Kemudian diperintahkannya lagi supaya menyalakannya selama seribu tahun sehingga menjadi hitam yang gelap.." (Maudhu', al-Haitsami)
64- Janganlah kamu banyak bercakap selain dari zikir kepada Allah. Maka sesungguhnya banyak bercakap selain dari zikir kepada Allah itu mengeraskan hati dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia kepada Allah ialah yang keras hatinya (Dha'if)

65- Apabila sampai salah seorang dari kamu ingin masuk ke saf dan saf itu telah penuh, maka hendaklah ia menarik seorang untuk bersama dengannya di tepinya. (Dha'if)

66- Wali abdal untuk umat ini ada 30 orang seperti Ibrahim Khalilur Rahman. Ketika seorang mati, maka Allah akan menggantikan tempatnya dengan seorang lelaki lain. (Maudhu')

67- Tidak lebih Abu Bakar dari kamu dengan banyaknya berpuasa dan solat. Tetapi dengan sesuatu yang hebat di dalam hatinya. (Tiada sumbernya)

68- Tahiyat Ka'bah adalah tawaf. (Tiada sumbernya)

69-  Sesungguhnya seorang hamba apabila mendirikan solat maka sesungguhnya dia berada di dalam pemerhatian Allah. Apabila dia selesai sembahyang dan berpaling, Tuhan berfirman kepadanya: Wahai anak Adam, kepada siapa engkau mahu berpaling? Kepada yang mereka yang lebih baik untuk engkau daripadaKu? Anak Adam, hadapkanlah solat engkau kepadaKu, maka Aku bagi engkau adalah sebaik-baik yang patut dipalingkan kepadanya. (Dhaif jiddan)

70- Telah terlintas di dalam hati Musa: "Adakah Allah itu tertidur?" Maka Allah mengutus malaikat kepadanya dan tidak menidurkannya selama tiga hari serta memberikannya dua buah botol. Botol itu dipegang pada kedua-dua tangannya. Dia diperintahkan supaya menjaga botol berkenaan. Kemudian dia tertidur. Kedua-dua tangannya hampir berlaga. Diapun terjaga serta menjauhkan semula jarak kedua tangan yang memegang botol. Lalu dia kembali mengantuk dan tertidur sehingga berlagalah kedua-dua tangannya. Dan terpecahlah dua botol itu. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah telah memberi perumpaan kepada Musa, kalaulah Allah itu tertidur sudah pasti langit dan bumi tidak terkendali. (Dha'if)

71- Pandangan/melihat itu merupakan satu panahan dari panahan-panahan Iblis. Barangsiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, nescaya Allah akan memberikannya keimanan yang dirasakannya amat manis di dalam hatinya. (Dha'if Jiddan/sangat lemah)


72- Wudhu' hendaklah diulangi apabila darah mengalir keluar dari hidung. (Maudhu')

73-  Iman bukanlah dengan angan-angan dan juga bukan dengan hias-hiasan tetapi apa yang tetap di dalam hati serta membenarkannya dengan perbuatan. (Maudhu')


74- Daabbah (binatang melata) akan keluar dengan tongkat Musa a.s. dan cincin Sulaiman a.s. Ia berkata ini: "Wahai mukmin." Dan berkata ini: "Wahai kafir." (Munkar)

75- Nabi s.a.w. keluar bersama Abu Bakar ke gua. Mereka berdua masuk. Kemudian datang labah-labah membuat sarang di pintu gua. (Dha'if)

76- Nabi s.a.w. telah terbau kentut seseorang lalu bersabda: "Bangunlah siapa yang kentut, dan berwudhu'lah." Lelaki (yang kentut) itu malu untuk berdiri. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bangunlah siapa yang kentut dan berwudu'lah. Sesungguhnya Allah tidak malu daripada kebenaran." Lalu Ibnu Abbas berkata: "Wahai Rasulullah s.a.w., apakah tidak boleh kami semua bangun dan berwudhu' semuanya?" Baginda s.a.w. menjawab: "Bangunlah kamu sekelian dan berwudhu'lah." (Bathil)

77- Apabila umatku melakukan limabelas perkara ini, bala' bencana akan menimpanya: Apabila ghanimah/rampasan perang berputar-putar di sekitar orang kaya dan berkedudukan, apabila amanah menjadi harta rampasan dan apababila zakat sebagai satu denda (dikeluarkan secara paksaan). (Dha'if)

78- Mencintai dunia adalah kepala/pokok segala dosa kesalahan. (Maudhu')

79- Mencari yang halal itu adalah jihad. Dan sesungguhnya Allah mencintai seorang mukmin yang mempunyai pekerjaan. (Dha'if)

80- Setiap sesuatu itu mempunyai mempelai/pengantin. Mempelai al-Quran adalah surah al-Rahman. (Munkar)

81- Penghulu kepada suatu kaum itu ada khadam kepada mereka. (Dha'if)

82- Hendaklah kamu berubat dengan dua penyembuh: Madu dan al-Quran. (Dha'if)

83- Umaiyah bin Abi Shalt, syairnya beriman tetapi hatinya kafir. (Dha'if)

84- Kebaikan itu tidak akan punah (tidak putus pahalanya). Dosa itu tidak akan dilupakan. Tuhan itu tidak akan tidur. Jadilah sebagaimana yang kamu mahukan sebagaimana yang kamu lakukan maka itulah yang kamu perolehi. (Dha'if)

85- Kesakitan menghadapi malaikat maut itu lebih dahsyat dari seribu pukulan pedang. (Dha'if Jiddan)


86- Bersegeralah beramal sebelum berlaku tujuh perkara: Adakah kamu menunggu sehingga jatuh sakit yang membinasakan, tua nyanyuk, atau kekayaan yang menjahanamkan, atau kefaqiran yang melarat, atau kematian mengejut, atau datang dajjal iaitu sejahat-jahat perkara ghaib yang ditunggu, atau datangnya kiamat, iaitu perkara yang paling dahsyat sekali (Dha'if)

87 - Memberi fatwa dapat menyebabkan diri terjerumus ke dalam neraka. (Dha'if)


88- Takutilah firasat orang-orang beriman. Maka sesungguhnya dia memandang dengan nur Allah. (Dha'if)

89- Dunia adalah rumah bagi yang tiada rumah, harta bagi yang tiada berharta. Yang menghimpun dunia ini ialah orang-orang yang tidak berakal. (Dha'if Jiddan)

90- Jangan akhiri makan kamu dengan meminum air (Tiada sumbernya)


91- Sesungguhnya hati itu berkarat sebagaimana berkaratnya besi. Dan penghilangnya adalah istighfar. (Maudhu')

92- Kami kembali dari jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar. (Tiada asalnya)


93- Barangsiapa yang berbuka satu hari dibulan Ramadhan bukan sebab rukhsah dibenarkan oleh Allah, maka ia tidak dapat di-qadha'kan sekalipun dia berpuasa seumur hidup. (Dha'if)

94- Sesungguhnya Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dalam keadaan merangkak. (Maudhu')


95- Perkara halal yang paling dimurkai Allah ialah talaq. (Dha'if)

96- Apabila Nabi s.a.w. sampai di Madinah, maka wanita, kanak-kanak dan hamba mengucapkan: Thala'al Badru Alaina…..
(Dha'if)

97- Jauhilah hasad. Maka sesungguhnya hasad itu memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu. (Dha'if)


98. Allah S. W. T telah berfirman: Aku adalah Allah, Tiada Tuhan selain Aku. Akulah Raja Segala Raja. Aku memegang hati-hati raja di dalam tangan-Ku. Sesungguhnya apabila hambaKu mentaati-Ku, Aku akan menukar hati raja-raja menjadi kasihan belas serta sayang ke atas mereka. Bila orang ramai (rakyat) mengingkari-Ku, Aku akan mengarahkan hati raja-raja ke arah kemarahan dan dendam ke atas mereka. Dengan demikian raja-raja akan meletakkan mereka dalam kesusahan dan penderitaan. Maka daripada kamu mengutuk mereka (pemimpin yang zalim), adalah lebih baik kembali mengingati-Ku dan merayu kepada-Ku supaya Aku dapat melindungimu daripada kekejaman mereka. (Dha'if jiddan)


99- Hadis azan dan iqamah di telinga bayi. (Dha'if jiddan)


100- Hikmah adalah sesuatu yang hilang dari setiap orang yang bijaksana. Maka apabila dia menemuinya, dia lebih berhak memilikinya. (Dha'if)

Sunday, 14 August 2011

Mengapa saya sokong mufti Pulau Pinang?

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Saya amat bersetuju dengan keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat. 

Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak. Seperti yang lepas, saya berpegang kepada alasan-alasan berikut menyokong keputusan berkenaan;



1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Nabi Muhammad SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi Muhammad SAW sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nab, kata Abu Sa'id al-Khudri: “Ketika Nabi beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi berada di tempat ibadah baginda. 



Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih). 

Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. 

Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya. Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin rh mengulas hadis ini dengan katanya: “Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid).




"Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid... dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini...boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara.

Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Arab Saudi yang penduduknya semua Islam. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.


5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai.

Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata: “Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan.

"Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah). 

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni.

Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya.


Nik Aziz sokong larang guna pembesar suara baca Quran



Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu mesyarakat sekitarnya, lapor Bernama.
Mursyidul Am PAS itu berkata perbuatan itu tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, walaupun dengan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.



Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh.

"Kita (umat Islam) hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, saya tidak bersetuju jika masjid menggunakan pembesar suara sehingga menjejaskan orang lain yang sedang tidur atau sakit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB) di Kota Bharu hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara semasa mengaji al-Quran pada waktu subuh di masjid dan surau di negeri itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menggesa wanita negeri ini yang suka membeli atau menyimpan barang kemas supaya menjualnya untuk dilaburkan dalam KRKB yang baru dilancarkan itu.

Ini kerana, katanya, ia akan memberi pulangan yang menguntungkan kesan kenaikan harga emas dunia yang menjadi bahan pelaburan urusniaga koperasi menerusi Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

Semasa ditanya sama ada kebimbangan sesetengah rakyat Kelantan yang ingin melabur dalam koperasi itu kesan kegagalan Koperasi Kohilal yang kebanyakannya dianggotai PAS, Nik Abdul Aziz berkata kegagalan koperasi itu ekoran kejatuhan saham dan keadaan ekonomi merudum pada 1998.




http://malaysiakini.com/news/172975


Saturday, 13 August 2011

Larang pembesar suara: Perlis sokong Pulau Pinang





Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

“Amalan pasang mikrofon kuat waktu sebelum subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur. Perbuatan mengganggu ini adalah haram dan berdosa,” katanya dalam satu pesanan SMS kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, Dr Juanda berkata pihaknya menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.

“Kami sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuat-kuasakan larangan itu di masjid dan surau, walaupun kadang-kadang ada (pihak) yang larang," katanya.
Menurut Dr Juanda, Jawatankuasa Fatwa Perlis telah membincang hal berkenaan sejak 30 April 2007 dan dalam garis panduan masjid di negeri itu diletakkan satu klausa: 'tidak membaca dan memperdengarkan ssebarang bacaan selain azan dengan kuat ssebelum dan selepas'.

Keputusan itu juga telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Perlis pada 25 Julai 2007 yg dipengerusikan oleh Tuanku Raja Muda Perlis.

“Mikrofon (di) masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja iaitu azan pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh.

“Ini adalah amalan yang menepati kehendak Sunnah Nabi SAW yang sepatutnya dipatuhi oleh semua umat Islam yang cintakan Sunnah Nabi SAW yang sahih.

“Pihak yang pertikai adalah jahil tentang hukum dan peranan masjid dalam Islam,” katanya.

Hormati keputusan

Mengulas perkara yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik Bernama berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu.

"Kami menghormati keputusan itu kerana ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lepas dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu," katanya selepas menghadiri majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf dan penyampaian bantuan Ramadan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur malam semalam.

Berita Harian semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Akhbar milik Umno itu juga memetik pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Abd Shukor Husin, berkata larangan itu ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini

Sebaliknya, kata beliau, larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.

"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan,” katanya dipetik Berita Harian.

Saturday, 6 August 2011

USTAZ ZAHARUDDIN TOKOH PERBANKAN




"Semuanya bermula sewaktu di Universiti Malaya, ketika itu saya memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Dan dari situ jugalah saya dapat merasakan tanggungjawab dan peranan yang perlu saya pikul dalam membimbing serta membuka jalan kepada anak-anak muda tentang keilmuan Islam," itulah kata-kata permulaan yang keluar dari mulut pendakwah terkenal, Ustaz Haji Zaharuddin bin Haji Abd Rahman.

Nama beliau bukan sahaja terkenal di serata pelusuk negeri di Malaysia, bahkan juga di luar negara. Ustaz Haji Zaharuddin bin Haji Abd Rahman merupakan seorang pendakwah bebas, pengacara, pensyarah dan juga pakar dalam bidang perbankan Islam. Kepakaran beliau dapat dihidu oleh pelbagai syarikat terkemuka di dalam dan di luar negara sehinggakan beliau mendapat banyak tawaran kerja dari serata dunia.

Kisah beliau bermula apabila beliau menamatkan pengajiannya di dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya. Sudah menjadi kebiasaan, anak muda yang baru sahaja menamatkan pengajian akan mula sibuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan diri dan juga keluarga.

Namun, lain pula bagi Ustaz Zaharuddin. Sebaik sahaja menamatkan pengajian, beliau berjinak-jinak dalam memberi motivasi kepada anak-anak muda. Walaupun secara sambilan, namun secara tidak langsung ia dapat memberi satu impak besar dan positif kepada remaja ketika itu.

"Tamat sahaja belajar, saya terus menjadi freelance motivator. Dari situ saya memupuk semangat mencabar diri saya dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan liku dan cabaran," kata Ustaz Zaharauddin.

Peluang jangan ditolak, sepanjang menjadi freelance motivator, Ustaz Zaharuddin berpeluang untuk berkenalan dengan ramai tokoh-tokoh korporat yang berjaya. Dan dari situ, beliau mengambil peluang dan kesempatan untuk merapatkan diri dengan golongan berjaya ini dan mendapatkan tips dan juga nasihat untuk melangkah ke hadapan.

Menurut Ustaz Zaharuddin, beliau berhenti menjadi freelance motivator dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana dalam jurusan Syariah di Universiti Al-Yarmouk, Jordan.

Kemudian, beliau bekerja dengan RHB Islamik Bank sebagai Pengurus Kanan di bank tersebut. Menurutnya, pengalaman bekerja di RHB merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh beliau pada ketika itu. Apa tidaknya, tugas beliau melibatkan segenap aspek perkara sehinggakan tidak menang tangan. Namun, beliau tidak mudah putus asa dan sudah menjadi kebiasaan membuat banyak kerja dalam satu masa.

Setiap saat beliau bekerja, beliau cuba mencari ruang dan peluang untuk mendapatkan ilmu. Beliau selalu menekankan di dalam dirinya supaya tidak jemu-jemu untuk mencari ilmu dengan ilmu orang yakni bermaksud tiada batasan dalam mencari ilmu.

Tempuhi Cabaran

"Semasa saya bekerja, banyak perkara yang belum saya ketahui. Bekerja di bank bukanlah suatu perkara yang biasa. Pada saya, ianya sangat mencabar. Saya mempunyai masalah dalam penggunaan perkataan atau terminologi yang digunakan dalam sistem perbankan. Namun itu bukanlah penghalang untuk saya meneruskan kerjaya saya." itulah jawapan dari Ustaz Zaharuddin apabila ditanya tentang antara cabaran yang beliau hadapi.

Sepanjang kerjayanya, beliau mendalami segala ilmu-ilmu perbankan Islam. Dari sistem perbankan Islam tempatan sehingglah sistem perbankan Islam di luar negara dapat dikuasai beliau. Ini kerana, terdapat banyak perbezaan antara dua sistem tersebut.

Menurut Ustaz Zaharuddin, cabaran bekerja di bank pada ketika itu banyak mengajar beliau erti kesabaran dan kesungguhan. Apa tidaknya, banyak perkara yang perlu beliau pelajari ketika itu. Beliau juga pernah diminta oleh pihak pengurusan untuk memberi penerangan tentang sistem kewangan Islam dihadapan tokoh-tokoh dan pakar perbankan Islam sedunia. Pada waktu itu, beliau baru sahaja bekerja kurang dari setahun dan diminta untuk memberi penerangan.

"Saya terkejut dengan permintaan pihak pengurusan. Namun, tugas dan tanggungjawab harus saya laksanakan juga. Dan alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancang. Saya juga dinaikkan pangkat. Selain itu, saya juga diminta untuk menjadi penulis di dalam akhbar NST Business Times" ujar beliau sambil tersenyum.

Walaupun begitu, beliau telah ditawarkan bekerja oleh Asian Islamic Bank yang beroperasi di Qatar. Menerima tawaran tersebut, Ustaz Zaharuddin akhirnya berpindah ke Qatar dan bekerja di sana selama hampir satu tahun setengah. Walaupun pelbagai rintangan yang dihadapinya, namun berbekalkan semangat dan keazaman beliau yang tinggi akhirnya beliau dapat menguasai pelbagai terminologi perbankan Islam dan juga segala ilmu tentang perbankan Islam di dalam dan di luar negara.

Tukar Bidang

Setiap manusia pasti mempunyai impiannya yang tersendiri. Begitu juga dengan Ustaz Zaharuddin, keinginan beliau untuk bekerja di bank mula padam. Nalurinya berkata untuk menjadi seorang pendidik.

Akhirnya beliau mengisi borang dan menjalani temuduga untuk jawatan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Ketika menjalani sesi temuduga, menurut Ustaz Zaharuddin, si penemuduga terperanjat melihat pengalaman kerjayanya seraya bertanyakan "Adakah awak pasti dengan apa yang awak cuba lakukan? Gaji awak akan merudum banyak."

Namun bukan gaji yang dipandang Ustaz Zaharuddin. Pada beliau, menjadi seorang pendidik adalah suatu perkara yang sangat mulia. Beliau ingin berkongsi ilmu dengan orang lebih-lebih lagi yang menjadi anak muridnya nanti.

"Saya pun terkejut kerana orang yang menemuduga saya bertanyakan soalan sebegitu. Tapi saya tidak kisah. Saya nyatakan terus hasrat dan niat saya. Dalam masa yang sama, saya nyatakan juga keinginan untuk menyambung pengajian saya di peringkat Doktor Falsafah atau PhD."

Akhirnya beliau diterima masuk sebagai pensyarah. Beliau menjadi pensyarah selama satu semester sahaja dan kemudian beliau melanjutkan pengajiannya di University of Wales, United Kingdom dengan mengambil jurusan dalam bidang PhD Syariah dan Perbankan Islam.

Laman Web Islamik Terbaik

Menurut Ustaz Zaharuddin, fokus utama beliau menghasilkan laman webnya adalah untuk berkongsi ilmu dengan semua orang. Ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada mereka yang melayarinya

Di dalam laman webnya, beliau banyak menerapkan dan mengisi pelbagai hadis – hadis yang sahih. Ini kerana, hari ini ramai umat Islam Mulism mudah tertipu dengan hadis-hadis yang tidak sahih.

Antara lain, beliau juga mengenakan layout yang santai dan mudah untuk menarik perhatian orang ramai untuk melayari laman webnya. Tambahan itu, untuk beliau mengelakkan untuk memasukkan mana-mana isu yang boleh menyentuh sensitiviti orang lain.

"Di dalam laman web saya, saya gemar untuk berkongsi tentang ilmu-ilmu perbankan Islam, hadis-hadis Nabi SAW. Ini kerana itulah yang ingin dicari oleh orang yang mengikuti perkembangan diri saya. Dan itulah ilmu yang saya ingin kongsikan dengan mereka." ujar Ustaz Zaharuddin.

Menurut Ustaz Zaharuddin lagi, beliau tidak menyangka laman webnya akan dianugerahkan sebagai laman web Islamik terbaik. Ini kerana, beliau tidak megisi borang penyertaan atas kesibukan yang melanda diri.

"Saya tidak mengisi borang penyertaan kerana pada ketika itu saya sibuk dengan urusan kerja. Dan saya juga terperanjat apabila saya mendengar ada orang beritahu laman web saya menang. Perasaan saya gembira bercampur pelik. Akhirnya, ada orang memberitahu saya, ada seorang hamba Allah yang mengisikan borang tersebut untuk dipertandingkan. Saya terharu dan mengucap terima kasih walaupun tidak pernah bertemu. "  jelas Ustaz Zaharuddin.

Kini, Ustaz Zaharuddin menetap di United Kingdom dan menjadi pensyarah di universiti tersebut. Selain itu, beliau juga banyak terlibat dengan persidangan perbankan Islam sedunia malah telah berjumpa dengan ramai tokoh-tokoh perbankan Islam yang termasyhur. Ini merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan sebagai seorang anak Malaysia yang berjaya di negara orang.

BIOGRAFI SYED SHEIKH AL HADI



Sejarah dunia Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Kedatangan Islam pada abad ke-13 ke Tanah Melayu turut disusuli dengan perkembangan yang melahirkan ribuan tokoh agama yang gigih berjuang menegakkan syiar agama suci itu. Seorang tokoh agama yang tidak asing dalam sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu ialah Syed Syeikh Al-Hadi. Beliau adalah reformis Islam yang ulung di Tanah Melayu yang memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pendidikan negara, khususnya agama Islam. Ini termasuk sumbangannya memajukan pendidikan agama di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Tokoh berketurunan Arab yang lahir di Kampung Ulu Melaka pada tahun 1867 ini dikenali sebagai pelopor yang menyalurkan pemikiran dan falsafah perjuangan Kaum Muda. Hasil perjuangan itu, lahirlah sistem pengajian madrasah di Tanah Melayu.

           
Pengasas Kaum Muda terdiri daripada Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka menganggap ajaran Islam harus menerima idea dan falsafah barat agar umat Islam mendapat kemajuan setanding dengan orang lain. Oleh itu, amalan sistem pengajian pondok yang mementingkan amalan keakhiratan saja mungkin ketinggalan zaman. Sistem pengajian itu juga memberi saingan kepada sistem pendidikan sekular yang diajurkan oleh pejajah British. Sebaliknya sistem itu bertujuan melahirkan pelajar yang alim, berilmu, bertanggungjawab kepada diri, agama dan bangsa. Perjuangan Syed Syeikh dalam penyebaran dakwah Islam dan sistem pendidikan semakin ketara dalam usaha mendirikan Madrasah Al-Iqbal pada tahun 1907 di Selegie Road, Singapura. Madrasah Al-Iqbal didirikan untuk mengembangkan Islam, menyalurkan pemikiran menentang khurafat, membangunkan kembali sikap kritis umat Islam terhadap perubahan sekitar, khususnya kemodenan Barat.

Walau bagaimanapaun, madrasah Al-Iqbal kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Islam dan dipindahkan ke Pulau Penyengat, Riau Lingga. Pada tahun 1916 Syed Syeikh Al-hadi kembali ke Melaka dan mendirikan Madrasah Al-Hadi di Bandar Kaba pada tahun 1917. Syed Syeikh Al-Hadi yang mendapat pendidikan agama dan akademik di Mesir mengunakan bahasa pengantar Arab di madrasah itu. Madrasah Al-Hadi telah menghadapi beberapa masalah. Di antaranya termasuklah masalah kewangan, pentadbiran, ketiadaan guru berkelayakan dan fenomena pemikiran masyarakat sekitar yang masih kolot. Ekoran daripada pelbagai masalah yang sering dihadapi menyebabkan Syed Syeikh Al-Hadi menutup madrasah itu pada tahun 1918. Satu lagi sebab penutupan madrasah itu ialah pertentangan antara Kaum Muda dan Kaum Tua di Melaka. Selain itu, golongan anti Kaum Muda di Melaka turut memulau syarahan Syed Syeikh Al-Hadi. Pada tahun 1919, beliau berhijrah ke Pulau Pinang. Pertentangan di antara Kaum Muda dan Kaum Tua telah mencetuskan pergaduhan.

Kaum Muda yang menerima pengaruh dari Indonesia itu menentang Kaum Tua yang mengikut satu mazhab saja manakala Kaum Muda menyeru supaya ijtihad dikembalikan untuk mencari sumber Islam. Di Pulau Pinang Syed Syeikh Al-Hadi telah mendirikan Madrasah Al-Masyhor Al-Islamiyah, iaitu pada tahun 1919. Antara pelajar lepasan madraah itu termauklah Dr. Burhanuddin Al-Helmi yang kemudian muncul sebagai tokoh agama dan perjuang kemerdekaan tanahair. Seorang lagi bekas pelajar madrah itu ialah Haji Abu Bakar Al-Shaari. Syed Syeikh Al-Hadi kemudiannya menceburkan diri dalam bidang penerbitan buku dan percetakan akhbar. Syarikat percetakan yang dimiliki oleh Syed Syeikh Al-hadi ialah Jelutung press. Melalui syarikat itu, beliau telah menerbiktan majalah bulanan Al-Ikhwan dan akhbar dwi-mingguan, iaitu Saudara. Satu keistimewaan Syed Syeikh Al-Hadi yang hampir sama dengan Hamka ialah beliau juga membabitkan diri dalam perkembangan kesusasteraan dengan menghasilkan novel saduran yang laris pada zamannya. Salah satu daripada novelnya yang terkemuka ialah Faridah Hanum.

Pengaruh gerakan reformasi yang dipelopori oleh Syed Syeikh Al-Hadi kemudiannya berkembang ke beberapa buah negeri, termasuklah Perak. Seorang anak didik Al-Masyhor, iaitu Syeikh Abdullah Maghribi telah mendirikan madrasah Idrisiah di Perak. Terdapat lepasan Al-Masyhor yang lain turut menubuhkan Madrasah Al-Diniyyah Kampung Lalang, Perak pada tahun 1934. Sumbangan Syed Syeikh Al-Hadi dalam pendidikan Islam di Tanah Melayu meninggalkan kesan yang mendalam dan hasil pemikiran kritisnya melahirkan pembaharuan dalam gerakan Islam di Malaya. Penubuhan madrasah yang dipeloporinya berhasil memberi pukulan kepada sistem pendidikan sekular oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Syed Syeikh Al-Hadi meniggal dunia pada Februari 1934 di Pualu Pinang.