Saat ini umat Islam makin berselisih, saling mencela satu dengan yang lain dan bermusuhan. Perselisihan mereka dalam hal yang besar iaitu urusan akhirat, mereka berselisih dalam prinsip agama sehinggakan ada yang saling berbunuhan, menghalalkan darah satu dengan yang lain, saling mengkafirkan satu dengan yang lain dan berbagai bentuk lagi kerosakan yang timbul natijah dari perbezaan prinsip agama.
Prinsip agama yang dimaksudkan adalah prinsip dalam memahami sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya dari segi keyakinan, perbuatan dan perkataan. Ini sangat terkait dengan hadits daripada Irbadh bin Sariyah radiyallahu ‘anhu, Rasululllah Shallallahu ‘alaihi wa sallam memberikan pelajaran kepada kami sehinggakan membuatkan hati kami takut kepadanya dan membuatkan mata kami mencucurkan air mata, kami berkata; “Wahai Rasulullah sepertinya wasiat ini wasiat orang yang akan pergi? Oleh kerana itu berilah kami nasihat”
Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam “Aku wasiatkan kalian untuk bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat walaupan kamu diperintah oleh seorang hamba. Dan sesungguhnya barangsiapa di antara kamu yang masih hidup setelahku maka dia akan melihat perselisihan yang sangat banyak, maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnah ku dan sunnah khulafaur rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah tersebut dengan gigi-gigi geraham, dan berhatilah-hatilah kamu daripada perkara-perkara yang baru, kerana perkara-perkara yang baru itu bid’ah dan setiap bid’ah adalah kesesatan.” (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan beliau mengatakan hadits ini hasan shahih)
Perselisihan yang sangat banyak ini mempunyai hubungan erat dengan bid’ah. Kerana itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakan kepada para sahabat beliau untuk berpegang dengan sunnahnya dan sunnah Khulafaur rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali. Berdasarkan kepada hadits daripada Safinah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Kekhalifahan setelahku berlangsung selama 30 tahun kemudian terjadi kerajaan.” (HR Ahmad dan Abu Daud, hadits shahih)
Hadits di atas dishahihkan oleh Imam Ahmad dan beliau mengatakan bahawa maksud khulafa’ di dalam hadits tersebut merujuk kepada Abu Bakar, Umar, Ustman dan Ali. Abdullah bin Ahmad berkata di dalam as-Sunnah, “Aku mendengar ayahku berkata, ‘Adapun tentang kekhalifahan, kami berpegang kepada hadits Safinah. Kami katakan Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali.’”
Hadits Irbadh bin Sariyah radiyallahu ‘anhu di atas juga mengisyaratkan kepada hadits perpecahan umat yang menjadi 73 kelompok dan yang selamat hanyalah satu iaitu mereka yang berpegang kepada sunnah nabi dan para sahabatnya.
Dari Muawiyah radiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam berdiri di hadapan kami beliau bersabda, “Ketahuilah sesungguhnya orang-orang sebelum kalian dari kalangan ahli Kitab berpecah menjadi tujuh puluh dua keompok, dan sesungguhnya umat ini akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga, tujuh puluh dua ke neraka satu yang ke syurga iaitu al-Jamaah” (HR Ahmad dan Abu Daud, Syaikh Albani mengatakan hadits ini hasan shahih)
Imam at-Tirmidzi meriwayatkan maksud al-Jamaah itu ialah, “Iaitu kelompok yang berada di atas apa aku dan sahabatku berada di atasnya.” (HR al-Lalika’ie no. 147 di Ushul I’tiqod Ahlu Sunnah Wal Jamaah)
Para sahabat nabi sangat jauh dari perbuatan bid’ah. Senantiasa keluar dari mulut-mulut mereka nasihat kepada umat yang kemudian untuk mentaati sunnah Nabi-nya dan mencela orang-orang yang melakukan bid’ah dan penyimpangan.
Tidaklah bid’ah itu timbul melainkan hasil daripada logika aqal, ra’yu, tidak merasa cukup dengan dalil-dalil syar’ie dan sunnah-sunnah Nabi. Mereka berlebihan dalam beribadah kepada Allah dengan cara yang tidak disyariatkan oleh Allah selain daripada mempertentangkan bid’ah mereka dengan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Sedangkan hawa nafsu yang mereka perturutkan itu sangatlah tercela, sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam “Sesungguhnya akan muncul dikalangan umatku sekelompok orang yang diseret oleh hawa nafsu seperti penyakit anjing gila menyerang penderitanya, tidak ada aliran darah dan persendian padanya kecuali dia diserang.” (Hadits hasan riwayat Abu Daud)
Sangat menduka citakan apabila umat islam sering bergelumang dengan bid’ah dan hawa nafsu kesesatan, sedangkan sunnah nabi dan jalannya para tabi’in terbentang luas di hadapan mereka.
Namun ada yang berkata, “apa salahnya jika saya menambah-nambahkan sikit amalan di dalam ibadah saya”. Jawapan, saat anda menambah-nambahkan amalan di dalam ibadah anda tanpa petunjuk dan pembenaran dari dalil syar’ie, maka di situ letaknya kesalahan anda.
Anda mengatakan “Apa salahnya?” sedangkan dalil jelas mengatakan “Barangsiapa yang membuat ajaran yang baru yang tidak berdasarkan dalam agama kami maka ia tertolak.” (HR Ibnu Majah dari Aisyah) dalam riwayat Muslim, “Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak didasari oleh agama kami maka ia tertolak.” Justeru anda membantah dalil-dalil ini dengan aqal anda dan menyatakan apa salahnya? Tidakkah perbuatan yang ditambah itu dibangun atas logika aqal disamping itu anda merasa tidak cukup dengan apa yang telah diajarkan oleh Nabi.
Tidak cukupkah apa yang Nabi tunjukkan dan sekiranya anda ingin beramal, ambil sahaja dari petunjuk Nabi kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakan, “Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah kalamullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad. Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan, dan semua bid’ah itu adalah kesesatan.” (HR Muslim, Ibnu Majah, shahih) di dalam riwayat an-Nasaie dan Ibnu Khuzaimah menambahkan “dan semua kesesatan di dalam neraka.”
Bukankah Nabi telah mengajarkan Islam ini dengan jelas, baik dari segi amalan, i’tiqod dan ucapan? Sabda Nabi, “Sesungguhnya aku telah meninggalkan kamu di atas agama yang terang, siangnya seperti malamnya, tiada yang menyimpang darinya kecuali orang yang binasa.” (Hadits hasan riwayat Ahmad, Ibnu Majah, al-Hakim dan Ibnu Abi Ashim)
Kita dapat melihat tidak ramai yang orang-orang yang menggemari perbuatan bid’ah ini sangat konsisten untuk mengamalkan sunnah. Bahkan mereka mencintai perbuatan bid’ah mereka berbanding dengan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam sehinggakan ada yang mencela, membenci dan memperlekehkan orang yang mengamalkan sunnah Nabi. Sedangkan nabi mengatakan, “Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku,” (HR Muslim)
Untuk menyelamatkan diri kita dari fitnah perpecahan yang membawa kepada kebinasaan yang dikhabarkan oleh Nabi, jadi marilah kita kembali untuk mengamalkan sunnah nabi, belajar dan istiqamah melakukannya.
Al-Jamaah adalah orang yang berjalan di atas jalan yang ditempuhi oleh Rasulullah dan para sahabatnya. Sedangkan mereka tidak pernah melakukan bid’ah-bid’ah yang menyesatkan. Akan tetapi kita dapat melihat mereka begitu bersemangat melaksanakan sunnah Nabi dan membelanya. Apabila muncul sahaja orang-orang yang membuat bid’ah, mereka terus menasihati dan melarang perbuatan tersebut daripada terus tersebar.
Daripada Amru bin Zurarah radiyallahu ‘anhu, dia berkata “Abdullah –Ibn Mas’ud- berdiri dihadapanku sementara aku sedang bercerita, dia berkata, ‘Wahai Amru sungguh kamu telah melakukan bid’ah yang sesat atau kamu berada di atas petunjuk melebihi Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya?’
Sungguh aku melihat mereka meninggalkanku sehingga aku melihat tidak seorang pun di tempatku.” (Hadits shahih lighairihi riwayat at-Thabrani, -Shahih Targhib Wat Tarhib-)
Imam Ahmad meriwayatkan hadits daripada riwayat Ghadafi bin al-Harits ats-Tsumali yang berkata, “Abdul Malik bin Marwan pergi kepadaku kemudian berkata , ‘Kami mengumpulkan manusia untuk dua hal, mengangkat tangan di atas mimbar pada hari jumaat dan mendengarkan kisah setelah solat subuh dan solat asar.’ Aku berkata, ‘Kedua hal tersebut sangat mirip dengan bid’ah menurutku dan aku tidak mau melakukannya sedikit pun kerana Nabi bersabda, “Tidaklah satu kaum menciptakan bid’ah melainkan hal yang sama dengannya sunnah dicabut.”. Jadi berpegang teguh kepada sunnah itu lebih baik daripada bid’ah’. (HR Ahmad di dalam sanadnya terdapat seorang yang bernama Abu Bakar bin Abdullah bin Abu Maryam yang dianggap dhaif, namun Ibnu Hajar menganggap sanadnya jayyid di Fathul Bari 13/253 di dalam bab berpegang kepada sunnah)
Abdullah bin Mas’ud radiyallahu ‘anhu berkata, “Ikutilah sunnah, jangan membuat bid’ah dan itu cukup bagi kalian”. (HR Ibnu Wadhah di dalam al-Bida’ wan Nahyu ‘anha)
Umar bin Abdul Aziz rahimahullah berkata, “Berbuat dan berkatalah seperti yang dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat. Sesungguhnya nabi dan para sahabat melakukan sesuatu berdasarkan ilmu. Mereka menahan diri (tidak melakukan satu perkara) berlandaskan bashirah. Mereka lebih mampu menyingkap permasalahan agama. Jika perkara baru yang terjadi sesudah mereka itu baik, nescaya mereka pasti melakukannya. Jika kamu katakan bahawa perkara baru yang muncul setelah mereka, maka yang memulakan perkara tersebut pasti orang-orang yang menyelisihi dan benci kepada petunjuk dan sunnah mereka. Mereka telah menerangkan semua urusan agama ini dengan keterangan yang melegakan dan cukup (lengkap dan sempurna). Orang-orang yang melebihi mereka telah melampaui batas sedangakn yang kurang sempurna mengikuti mereka dianggap telah lalai. Beberapa orang telah terjerumus dalam beberapa dua kelompok ini dan telah terbukti bahawa yang kurang sempurna dianggap meremehkan sedangkan yang berlebihan dianggap melampaui batas. Nabi dan para sahabt berada di jalan yang lurus di antara keduanya. (Atsar ini disebutkan oleh Ibnu Qudamah di dalam Lum’atul I’tiqod dan al-Burhan fi Bayanil quran, Ibnul Jauzi di dalam Manaqibu Umar bin Abdul Aziz, Ibnu Rajab di dalam Fadhlu ‘Ilmis salaf)
No comments:
Post a Comment