100 HADIS DHA'IF DAN PALSU
YANG MASYHUR
DI KALANGAN MASYARAKAT
Inilah koleksi 100 Hadis Dha'if dan Palsu yang telah dihimpunkan oleh Syeikh Ihsan bin Muhamad bin 'Ayis al-Utaibi. Telah selesai usaha penterjemahan ke Bahasa Melayu pada 9/3/2003. Tujuan penterjemahan Koleksi 100 Hadis Dha'if dan Palsu ini adalah untuk mendidik diri kita sendiri agar berhati-hati terhadap periwayatan Hadis Dha'if dan Palsu. Di samping itu ia juga akan cuba disebarkan kepada orang ramai melalui media internet, samada melalui web, forum, senarai mel atau sbgnya. Tujuannya adalah untuk mendidik masyarakat serta memberi peringatan kepada mereka tentang mara bahaya Hadis Dha'if dan Palsu. Agar mereka dapat menjauhkan diri dari meriwayatkannya dan mengamalkannya. Ini adalah 100 buah hadis Dha'if dan Maudhu' yg tersebar luas di kalangan khatib/penceramah/pendakwah. Hadis Shahih sudah memadai tanpa perlu mengambil hadis Dha'if.
ASAL USUL HADIS PALSU
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Kebanyakkan umat Islam di Malaysia pasti akan pernah mendengar kalimat kata-kata seperti “Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China”, “Perselisihan dalam umatku dalah rahmat”, “Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku, sedangkan Ramadan adalah bulan umatku” atau "Sesiapa yang mengenal dirinya maka dia telah mengenal tuhannya". Ini adalah kerana ianya telah disebarkan di kalangan masyarakat Islam oleh sesetengah penceramah dan penulis buku agama dan mereka sandarkannya sebagai sabda Nabi Muhammad s.a.w.. Namun begitu tahukah anda bahawa kalimat-kalimat tersebut merupakan hadis palsu (mawdhu’)? Hadis palsu adalah sesuatu yang diciptakan dan dibuat-buat lalu dinisbatkan kepada Rasulullah s.a.w. secara dusta baik mengenai ucapannya, perbuatannya mahupun perakuannya. Para ulamak juga telah sepakat diharamkan untuk meriwayatkan hadis palsu bagi mereka yang mengetahuinya dalam bentuk apa pun kecuali disertai dengan penjelasan akan kepalsuan hadis tersebut. Dalil yang mengharamkan periwayatan hadis palsu adalah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya berdusta di atas (nama)ku tidaklah sama dengan dengan berdusta kepada orang lain. Maka barangsiapa yang berdusta di atas (nama)ku dengan sengaja, hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka” – Hadis riwayat Imam Bukhari (no: 1291) dan Muslim (no: 4) di dalam kitab Shahih mereka.
Namun begitu amat mendukacitakan apabila amaran keras daripada baginda s.a.w. ini tidak di ambil peduli oleh sesetengah pihak termasuk di kalangan para ustaz dan ustazah. Bagi orang awam yang memiliki ilmu yang minimal dalam bidang hadis pasti akan menerima bulat-bulat hadis-hadis palsu tersebut dan menganggap ianya benar-benar datangnya daripada Rasulullah s.a.w. lalu mengamalkannya. Maka bertebaranlah amalan-amalan bidaah serta fahaman-fahaman yang sesat di tengah-tengah masyarakat.
Melihatkan wujudnya ancaman yang keras daripada baginda, maka perlu bagi umat Islam untuk mengetahui ciri-ciri yang terdapat di dalam hadis palsu agar mudah kita mengesannya. Hadis palsu ini dapat dikenal pasti melalui kecacatan yang terdapat pada sanad (rangkaian para perawi yang menyampaikan hadis tersebut) mahupun matannya (isi kandungan hadis tersebut). Di antara ciri-ciri untuk mengenali hadis palsu adalah:
a) Pengakuan dari mereka yang memalsukan hadis tersebut. Sebagai contohnya Tatkala Ibnu Abi Al-Auja’ ditangkap dan hendak dipenggal lehernya dia telah berkata: “Aku telah membuat di antara kamu empat ribu Hadis yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.”
b) Terdapat petunjuk bahawa perawi tersebut termasuk kalangan pedusta dan hadis tersebut tidak diriwayatkan oleh perawi lain. Sebagai contohnya perawi dari kalangan pengikut Syi’ah al-Rafidhah seperti Abu Mikhnaf.
c) Perawi hadis tersebut mengaku secara dusta bahawa dia telah mengambil riwayat daripada seseorang yang tidak pernah ditemuinya. Hal ini boleh diketahui melalui tarikh lahir dan wafat seseorang perawi mahupun tempatnya bermukim. Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar Hadis daripada Hisyam bin ‘Amman abang kepada Ibnu Hibban, maka Ibnu Hibban bertanya: “Bilakah engkau ke kota Syam?” Ma’mun menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibnu Hibban berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.” Dari sini dapat diketahui bahawa Ma’mun sebenarnya tidak pernah bertemu dengan Hisyam.
d) Apabila seorang perawi itu mengaku bahawa Nabi s.a.w. telah melakukan sesuatu perkara di hadapan para sahabat yang lain, tetapi mereka bersepakat untuk menyembunyikan perkara tersebut dan tidak menyebarkannya. Sebagai contohnya hadis palsu ini: “Sesugguhnya Rasulullah s.a.w. meraih tangan ‘Ali bin Abi Thalib r.a di hadapan seluruh sahabat. Mereka baru sahaja tiba dari melaksanakan haji wada’. Lantas Nabi (membuat ‘Ali) berdiri ditengah-tengah mereka sehingga dapat dilihat oleh semua hadirin. Kemudian baginda bersabda: “Ini adalah waashiku (orang yang menerima wasiat) dan saudaraku serta khalifah (orang yang menggantikan) setelah aku. Maka dengarkanlah oleh kamu semua (perkataannya) dan taatilah (perintahnya).”
e) Hadis tersebut bercanggah dengan ajaran al-Qur’an ataupun hadis yang sabit daripada Rasulullah s.a.w.. Sebagai contohnya hadis palsu: “Anak Zina tidak akan masuk ke syurga sampai tujuh keturunan” yang bercanggah dengan firman Allah S.W.T.: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). – al-An’aam (6) : 164
f) Hadis tersebut bertentangan dengan logik akal serta nilai-nilai keilmuan seperti hadis palsu dengan lafaz ini: “Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu.” Termasuk dalam kategori ini adalah hadis-hadis tentang khasiat sesuatu bahan makanan terhadap kesihatan manusia namun ianya ternyata bercanggah dengan ilmu perubatan seperti hadis palsu ini: “Buah terung itu adalah penawar bagi segala penyakit.”
g) Susunan kata-kata dalam hadis tersebut tidak mencerminkan ianya keluar dari mulut seorang Nabi yang mana Allah s.w.t. telah berfirman:
Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. – al-Najm (53) : 3-4
Misalnya hadis palsu ini: “Melihat wajah yang tampan itu boleh mempertajamkan pandangan mata.”
h) Matan hadis tersebut mencemari sifat-sifat Allah yang maha sempurna dari sebarang bentuk kecacatan dan tidak menyerupai makhluknya seperti hadis palsu ini: “Bahawasanya Allah s.w.t. menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Dia menciptakan dirinya dari kuda itu.” Termasuk dalam hal ini adalah menceritakan tentang perbuatan Allah s.w.t. secara tidak benar seperti hadis: “Sesungguhnya Allah telah menciptakan langit dan bumi pada hari ‘Asyuraa.”
i) Hadis yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil. Sebagai contohnya hadis palsu yang berbunyi: “Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama dari membina seribu jamek (masjid).”
j) Hadis yang menunjukkan amal ibadah yang melampau serta menyusahkan seperti solat tanpa henti semalaman dan memilki jumlah rakaat ratusan bahkan mencecah ribuan seperti solat al-Raghaaib pada hari Jumaat yang pertama dalam bulan Rejab, zikir-zikir yang mencecah ribuan kali dan dilakukan pula tidak sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. seperti berteriak serta menari-nari. Sebagai contohnya adalah hadis palsu: “Jangan kalian melalaikan Jumaat pertama pada bulan Rejab kerana sesungguhnya Jumaat pertama pada bulan Rejab adalah malam yang dinamakan malaikat dengan malam raghaaib.”
k) Hadis yang menunjukkan sifat perkauman serta mencela kaum yang lain seperi hadis palsu: “Rasulullah melihat makanan, lantas baginda bersabda: “Milik siapa ini?” Al-Abbas berkata: “Milik orang-orang Habsyah, (makanan) milik mereka.” Rasulullah bersabda: “Jangan kamu lakukan (berikan), Sesungguhnya mereka jika lapar akan mencuri dan jika kenyang akan berzina.”
l) Hadis yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan yang kecil. Umpamanya: “Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat, maka hendaklah dia masuk Neraka selama tujuh puluh tahun.”
Penulis yakin pada saat ini para pembaca sudah mula sedar betapa jeleknya hadis-hadis palsu ini dan telah maklum amaran keras daripada Rasulullah s.a.w. bagi mereka yang menyebarkannya. Tentu akan bermain-main di fikiran para pembaca tentang siapakah yang tergamak untuk memalsukan hadis-hadis Nabi ini. Maka berikut penulis akan senaraikan golongan yang bertanggung jawab memalsukan hadis-hadis Nabi.
a) Mereka yang memalsukan hadis dalam rangka mengajak manusia ke arah kebaikan dan menghindari kemungkaran. Dalam satu kajian teliti yang dibuat oleh Mu’ammal bin Ismail, beliau telah menemui orang yang membuatnya. Kata beliau: “Aku telah diriwayatkan Hadis ini oleh seorang Syeikh, lalu aku bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Syeikh itu menjawab: “Seorang laki-laki di Madain, dia masih hidup.” Aku pergi menemui laki-laki itu lalu bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Orang itu menjawab: “Saya telah diberitahu oleh seorang Syeikh di Wasith.” Aku pergi menemuinya dan berkata: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Dia menjawab: Seorang Syeikh di Abadan. Saya pergi menemui Syeikh itu bersama-sama dengan Syeikh dari Bashrah tadi. Dia memegang tanganku lalu membawaku masuk ke dalam sebuah rumah, tiba-tiba aku dapati kaum sufi yang berada dalam rumah itu dan bersama-sama mereka ada seorang Syeikh mereka. Saya bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan hadis ini kepada anda?” Syeikh itu menjawab: “Tiada sesiapapun yang meriwayatkan hadis itu kepadaku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh dari Al-Quran lantas kami buatlah hadis ini untuk mereka bagi memalingkan hati mereka kepada Al-Quran”.”
Mereka berpandangan tidak menjadi kesalahan untuk menyebarkan riwayat-riwayat palsu asalkan sahaja kandungan hadis tersebut membawa ke arah kebaikan. Pada tanggapan mereka kedustaan yang mereka lakukan hanyalah semata-mata untuk membantu agama Allah. Adakah mereka ini merasakan ayat-ayat al-Qur’an serta hadis-hadis Nabi tidak cukup sempurna untuk dijadikan landasan bagi tarhib dan targhib? Ternyata pemikiran rosak ini berpangkal dari kejahilan mereka terhadap syari’at Islam. Berpunca daripada tangan-tangan kotor mereka inilah maka banyak amalan-amalan bidaah tersebar dalam masyarakat. Amalan bidaah ini pernah dicela oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:
Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah) dan setiap yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat. - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 867
b) Para tukang cerita atau lebih dikenali sebagai al-Qashshaash yang mencipta hadis-hadis palsu agar orang ramai merasa tertarik dengan ceramah yang disampaikan. Apabila dia berjaya menarik perhatian orang ramai maka tentu dia akan mendapat banyak jemputan untuk berceramah dan semakin banyak pula upah yang akan diterima. Di antara contoh golongan ini adalah Maisarah bin Abdu Rabbih. Ketika ditanya: “Dari mana anda dapatkan hadis-hadis ini?” Dia menjawab: “Aku memalsukannya untuk menggembirakan orang.”
c) Para peniaga yang ingin melariskan jualannya maka diciptakan hadis-hadis palsu yang menunjukkan khasiat barangan jualannya tersebut. Sebagai contoh kita melihat mereka yang menjual ubat-ubatan berasal dari daging Dhab, maka dia membawa riwayat-riwayat yang menunjukkan ianya adalah perubatan Nabawi. Sedangkan Rasulullah s.a.w. tidak makan daging dhab.
Telah berkata Khalid bin Walid: “Ya Rasulullah adakah haram memakan dhab?”
Rasulullah bersabda: “Tidak, tetapi ia bukan makanan bagi kaumku, maka aku tidak memakannya.”
“Makan dihidangkan dhab kepada Khalid lalu dia memakannya sedangkan Rasulullah s.a.w. melihat (Khalid memakannya). - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, no: 4242
Hal yang sama kita dapat bagi mereka yang menjual tasbih yang diperbuat dari kayu koka, kismis jampi, capal Nabi dan air jampi yang kini telah dikilangkan dan dijualkan secara komersial. Tanpa segan-silu mereka telah meriwayatkan perkara yang palsu tentang fadilat barang jualan mereka dan ianya secara tidak langsung telah menyebabkan orang ramai sanggup berhabisan wang ringgit demi untuk mencapai fadilat palsu tersebut.
d) Golongan zindik dan munafik yang berpura-pura menjadi orang Islam bertujuan untuk merosakkan Islam dari dalam dengan membuat banyak hadis-hadis palsu. Golongan ini dikatakan telah membuat empat belas ribu hadis palsu. Abdul-Karim bin al-Auja’ sahaja telah mengaku membuat empat ribu hadis mengenai halal dan haram. Mereka ini telah membuat hadis-hadis yang menyebarkan keyakinan yang syirik, amalan-amalan bidaah, manganjurkan perkara mungkar, perkara yang melemahkan umat Islam dan lain-lain. Lihat bagaimana akidah sesat yang dibangunkan di atas dalil-dalil palsu namun ianya masih di amalkan dalam masyarakat kita seperti fahaman Nur Muhammad, Wahdatul Wujud dan Tawasul di kuburan. Ini semua adalah hasil dari serangan yang dilakukan oleh golongan zindik dan munafik melalui riwayat-riwayat palsu.
e) Kelompok fanatik mazhab juga akan mencipta hadis-hadis palsu demi untuk meninggikan kedudukan imam mazhab mereka serta menguatkan pendapat-pendapatnya. Sebagai contoh di kalangan pengikut fanatik mazhab Hanafi mereka mencipta hadis palsu untuk memburuk-burukan Imam al-Syafi’i r.h. Hadis palsu tersebut memiliki lafaz begini, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (Imam al-Syafi’i) yang akan mendatangkan kerosakan kepada umat ku lebih buruk daripada iblis dan akan muncul pula di kalangan umat ku seorang lelaki bernama Abu Hanifah yang akan menjadi cahaya penyuluh umat aku.”
Penipuan serta pemalsuan sebegini juga merupakan budaya hidup kelompok Syi’ah. Maka tidak hairanlah sekiranya mereka inilah golongan yang paling banyak memalsukan hadis untuk menyokong pegangan mazhabnya yang sesat. Imam Malik r.h ketika di tanya tentang mereka beliau menyatakan: “Jangan mengajak berbicara dengan mereka dan jangan meriwayatkan daripada mereka kerena mereka adalah para pendusta.” Sebagai contohnya untuk menghina para sahabat mereka telah membuat riwayat palsu seperti ini: “Daripada Abu Ja’far yang berkata: “Semua manusia itu telah murtad setelah wafatnya Nabi kecuali 3 orang.” Aku bertanya: “Siapakah yang 3 orang itu?” Maka jawabnya : “Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Dzarr al-Ghifari dan Salman al-Farisi.”
f) Terdapat juga mereka yang sengaja membuat hadis palsu demi untuk mendekatkan diri kepada penguasa bagi mendapat ganjaran duniawi. Ini adalah seperti kisah Ghiath bin Ibrahim An-Nakha’ie Al-Kufi pada satu hari datang berkunjung ke istana Al-Mahdi. Di kala itu Al-Mahdi sedang bermain burung dara (merpati) kerana beliau sangat suka dengan burung-burung merpati itu. Maka berkatalah Ghiath:
“Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada pertaruhan melainkan pada anak panah, unta atau kuda, ataupun burung.”
Hadis yang dibawa oleh Ghiath adalah benar, tetapi tambahan perkataan “ataupun burung” itu adalah perkataan Ghiath sendiri untuk tujuan membodek al-Mahdi. Al-Mahdi memahami maksud Ghiath itu lalu disuruh supaya Ghiath diberi hadiah. Dan setelah Ghiath pergi, maka Al-Mahdi berkata: “Aku naik saksi atas engkau, bahawa engkau adalah seorang pendusta terhadap Rasul.” Dan kemudian dia berkata pula: “Akulah yang mendorongnya berbuat demikian. Al-Mahdi kemudian menyuruh supaya burung merpati itu disembelih.”
g) Ada juga golongan yang mencipta hadis palsu bermotifkan politik. Sebagai contohnya ketika terjadi perselisihan di antara Muawiyah bin Abi Sufiyan dan ‘Ali bin Abi Talib maka banyak riwayat-riwayat palsu dicipta demi untuk menguatkan pihak yang disokong mereka. Bagi penyokong ‘Ali mereka membuat hadis palsu: “Apabila kamu melihat Mu ‘awiah di atas mimbarku, maka bunuhlah akan dia.” Bagi mereka yang menentang ‘Ali maka mereka mencipta hadis palsu: “Tidak ada satu pohon pun dalam Syurga kecuali tertulis atas tiap-tiap daunnya “Tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t. dan Muhammad itu pesuruh Allah s.w.t.”, Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar al-Faruq dan ‘Uthman Zun-Nuraini.”
Begitu juga bagi pengikut kerajaan Bani ‘Abbasiyah mereka mengeluarkan hadis palsu ini : “’Abbas itu ialah orang yang memelihara wasiatku dan ahli warisku.” Bagi pengikut bani Umayyah pula mereka meriwayatkan hadis palsu ini: “Orang-orang yang kepercayaan itu ada tiga orang; Aku (Muhammad), Jibril dan Mu’awiah.”
Demikianlah beberapa contoh golongan yang secara sengaja menempah tempat duduk mereka di neraka dengan mencipta hadis-hadis palsu. Penulis yakin setelah melihat ciri-ciri hadis palsu serta golongan yang bertanggungjawab menciptanya maka sedikit-sebanyak kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh hadis palsu ini terhadap masyarakat akan jelas terbayang di minda para pembaca. Menyedari hakikat ini para ulamak hadis semanjak zaman berzaman telah merumus serta menerapkan kaedah-kaedah ilmu hadis demi untuk memudahkan umat Islam mengenali hadis-hadis palsu tersebut. Di antara karya-karya cemerlang warisan ulamak hadis adalah seperti al-Dhu’afa karya Imam al-Bukhari, al-Dhu’afa wa al-Matrukun karya Imam al-Nasaa’i, Mizan al-I’tidal karya Imam al-Dzahabi, Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi, al-Maqaashid al-Hasanah Fii Bayaan Katsiir Min al-Ahaadiits al-Musytahirah ‘Ala al-Alsinah karya al-Hafidz as-Sakhawy, Taqrib al-Tahzib oleh al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, al-Laali’ah al-Mashnu’ah karya Imam as-Suyuthi, al-Maudhu’at oleh Ibnul Jauzi, Tanzihu al-Syari’ah al-Marfu’ah’An al-Ahadis al-Syari’ah al-Mawdhu’ah oleh Ibnu Iraq al-Kittani dan karya Syaikh al-Albani bertajuk Silsilah al-Hadis al-Dha’ifah wal al-Mawdhu’ah serta banyak lagi. Sewajarnya pihak yang bertanggungjawab di Malaysia ini menyambung warisan yang ditinggalkan oleh para ulamak hadis ini dengan menubuhkan sebuah Institusi Hadis peringkat kebangsaan yang akan memantau serta membasmi penyebaran hadis-hadis palsu mahupun lemah (dha’if) dalam segala bentuk sama ada secara penulisan mahupun lisan. Jumlah mereka yang pakar dalam bidang hadis di Malaysia sebenarnya adalah begitu sedikit dan ini juga membuka ruang untuk hadis-hadis yang palsu dan lemah dipergunakan secara semberono. Semoga dengan penubuhan institusi yang sedemikian rupa, ianya akan dapat melahirkan lebih ramai alim-ulamak dalam bidang hadis di negara kita Malaysia .
SENARAI 100 HADIS PALSU
1. Barangsiapa yang dengan solatnya tidak dapat mencegah fahsya' dan munkar, tidak akan bertambah daripada Allah melainkan semakin jauh dariNya. (Albani: Bathil & tidak sah dari sudut sanad dan matan)
2- Bercakap di dalam masjid dapat menghapuskan kebaikan-kebaikan sebagaimana binatang ternak memakan rumput. (Albani: Tidak ada asalnya)
3- Berkerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya. (Albani: Tidak sah dari Nabi s.a.w.)
4. Aku adalah datuk kepada setiap orang yang bertaqwa. (Albani: Tiada asalnya)
5- Hanyasanya aku dibangkitkan sebagai guru. (Albani: Dha'if)
6 . Ertinya: Allah telah mewahyukan kepada dunia: Berkhidmatlah kepada sesiapa yang berkhidmat kepadaKu dan sengsaralah kepada sesiapa yang berkhidmat kepadamu. (Albani: Maudhu')
7- Berhati2lah kamu terhadap Khadra' ad-Dimn/kehijauan kotoran binatang ternak. Baginda ditanya, "apakah khadra' ad-dimn itu? Sabdanya: Perempuan cantik yang tumbuh disuasana buruk (rupawan tetapi hatinya jahat). (Albani: Terlalu Dha'if)
8- Dua golongan dari kalangan umatku, apabila baik mereka maka baiklah manusia. Iaitu umara' dan fuqaha'. Di dalam satu lafaz lain, umara' dan ulama'. (Albani: Maudhu')
9- Bertawassullah dengan kemegahan dan kemuliaanku kerana sesungguhnya jah-ku di sisi Allah adalah agung. (Albani: Tiada asalnya)
10- Barangsiapa yang keluar rumah pergi solat dan mengucapkan: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan hak orang yang memohon kepadaMu dan aku memohon dengan hak perjalanan ini………… Allah akan mengadap wajahnya dan seribu malaikan akan memohon keampunan untuknya. (Albani: Dha'if)
11- Kebaikan ada padaku dan pada umatku hingga hari kiamat. (Ibnu Hajar: Aku tidak mengenalinya).
12. Barangsiapa yang tidur selepas Asar maka akan terganggulah akalnya. Maka janganlah dia mencela melainkan kepada dirinya sendiri. (Ibnu al-Jauzi di al-Maudhu'aat, al-Sayuthi di al-la'ali al-Masnu'ah & al-Zahabi di Tartib al-Maudhu'aat)
13- Barangsiapa yang berhadas dan tidak berwudhu' maka sesungguhnya dia telah memalingkan diri dariku. (Albani: Dha'if)
14- Barangsiapa yang berhaji ke Baitillah dan tidak menziarahiku, maka sesungguhnya dia telah memalingkan diri dariku. (al-Zahabi, al-Shaghani & al-Syaukani: Maudhu')
15- Barangsiapa yang berhaji lalu menziarahiku selepas kewafatanku, dia seolah2 menziarahiku semasa aku hidup. (Albani: Maudhu')
16- Ikhtilaf di kalangan umatku adalah rahmat. (Albani: Tiada asalnya)
17. Para sahabatku adalah seperti bintang-bintang di langit. Mana2 yang kamu ikuti pasti akan mendapat petunjuk. (Albani: Maudhu')
18- Barangsiapa yang mengenali dirinya maka sesungguhnya dia telah mengenali tuhannya. (al-Asrar al-Marfu'ah & tazkirah al-Maudhu'aat: Maudhu')
19. Tuhanku telah mendidikku dan membaikkan adabku. (Ibn Taimiyah: Tiada isnad yg tsabit)
20- Semua manusia ibarat mayat kecuali orang-orang alim. Dan orang-orang alim semuanya binasa kecuali orang-orang yang beramal. Dan orang-orang beramal semuanya tenggelam kecuali orang-orang yang ikhlas. Dan orang-orang yang ikhlas semuanya dalam bahaya yang besar. (Al-Saghani: Maudhu')
21- Bekas mulut orang beriman adalah ubat. (Tiada asalnya)
22. Apabila kamu melihat bendera-bendera hitam yang keluar dari arah Khurasan, maka kamu datangilah walaupun dalam keadaan merangkak. Kerana sesungguhnya di situ ada khalifah Allah, al-Mahdi. (Dha'if)
23- Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. (Tiada asalnya)
24- Adapun aku tidak lalai, tetapi dilalaikan agar aku membimbing. (Tiada asalnya)
25- Manusia itu tidur, apabila mereka mati barulah mereka terjaga. (Tiada asalnya)
26- Barangsiapa yang berkata suatu perkataan, kemudian dia bersin, maka perkataannya itu adalah benar. (Maudhu')
27- Berkahwinlah dan jangan bercerai, maka sesungguhnya talak itu menggoncangkan Arasy. (Maudhu')
28- Sembahyang perlu diulang apabila ada darah sekadar satu dirham. (Maudhu')
29- Orang yang pemurah itu hampir dengan Allah, hampir dengan syurga dan jauh dari neraka. Orang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia dan hampir dengan neraka. Orang jahil yang pemurah itu lebih dicintai Allah daripada seorang ahli ibadah yang bakhil. (Terlalu Dha'if)
30- Aku berbangsa Arab, al-Quran berbahasa Arab dan lisan para ahli syurga adalah bahasa Arab.
31- Setiap sesuatu itu ada hatinya. Sesungguhnya hati al-Quran adalah Yasiin. Barangsiapa yang membacanya, maka seolah-olah dia membaca al-Quran sebanyak 10 kali. (Maudhu')
32- Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadah selama 60 tahun. (Maudhu')
33- Tiada sembahyang (tidak sah) bagi orang yang berjiran dengan masjid melainkan di masjid. (Dha'if)
34- Hajar al-Aswad adalah tangan kanan Allah di mukabumi ini yang berjabat dengan hamba-hambaNya. (Maudhu')
35- Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat. (Dha'if)
36- Jibril a.s. telah berpesan agar aku berbaik dengan jiran hingga 40 buah rumah. Sepuluh dari sini ke sana . Sepuluh dari sini ke sana . Sepuluh dari sini ke sana . Sepuluh dari sini ke sana . (Dha'if)
37- Kalau tidak kerana engkau (Muhamad), nescaya tidak aku jadikan dunia. (Maudhu')
38- Barangsiapa yang membaca surah al-Waqi'ah setiap malam, nescaya tidak akan ditimpa kefakiran selama2nya. (Dha'if).
39- Barangsiapa yang penumpuannya bukan kepada Allah, maka tiada lagi peliharaan dari Allah. Dan barangsiapa yang tidak memerhatikan urusan umat Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka. (Dha'if)
40- Sebagaimana keadaan kamu sekelian, maka seperti keadan itulah yang diberikan kepada orang yang memimpian kalian. (Dha'if)
41- Sebagaimana keadaan kamu sekelian, maka seperti keadan itulah yang diberikan kepada orang yang memimpian kalian. (Dha'if)
42- Barangsiapa yang dikurniakan anak, lalu diazankan ditelinga kanannya, dan di-iqamah di telinga kirinya, maka anak ini tidak akan diganggu oleh syaitan/jin. (Maudhu')
43- Barangsiapa yang berpegang dengan sunnah-ku ketika umatku dalam kerosakan, maka baginya seratus pahala mati syahid. (Terlalu Dha'if)
44- Orang yang berpegang dengan sunnah-ku ketika umatku dalam kerosakan, maka dia mendapat pahala mati syahid. (Dha'if)
45- Aku adalah anak dua calun yang disembelih (Abdullah bin Abdul Muttalib dan Ismail bin Ibrahim a.s.) – (Tiada asalnya)
46- Melihat al-Quran itu ibadah, anak melihat ibubapanya adalah ibadah dan melihat kepada Ali bin Abi Thalib adalah ibadah. (Dha'if)
47- Barangsiapa yang bersembahyang dimasjid-ku selama 40 fardu tanpa tertinggal satu sembahyangpun, nescaya ditulis baginya kelepasan dari neraka dan azab serta bebas dari sifat munafiq. (Dha'if)
48- Sanak saudara itu lebih utama dilayan dengan baik. (Tiada asalnya)
49- Orang terakhir yang akan masuk syurga ialah seorang lelaki dari Juhainah. Dia bernama Juhainah. Ahli syurga bertanya: Apakah masih ada orang yang sedang diazab? Dia menjawab: Tiada. Ahli syurga berkata: Berita yang diyakini kebenarannya ialah yang dibawa oleh Juhainah. (Maudhu')
50Sebaik-baik nama ialah yang menghambakan diri dan memujiNya. (Maudhu')
51 - Tuntutlah ilmu sekalipun ke negeri China . (Maudhu')
52- Berbincanglah dengan mereka (perempuan), dan sanggahlah mereka. (Tiada asalnya)
53- Pada hari kiamat, manusia akan dipanggil dengan nama ibu mereka sebagai tabir dari Allah ke atas mereka (menutup rahsia anak zina). (Maudhu')
54- Sultan adalah bayangan Allah di mukabumiNya. Barangsiapa yang setia kepadanya akan diberi petunjuk. Dan, barangsiapa yang mengkhianatinya nescaya akan sesat. (Maudhu')
55- Barangsiapa yang takut azab Allah, maka Allah akan menjadikan segala sesuatu takut kepadanya. Dan, barangsiapa yang tidak takut kepada Allah, maka Allah akan menjadikan takut terhadap segala sesuatu. (Dha'if)
56- Allah Taala berfirman: Barangsiapa yang tidak redha dengan qadha'-Ku dan tidak bersabar atas bala'-Ku, maka hendaklah dia mencari Tuhan selainKu. (Dha'if)
57- Tidak dinamakan mengumpat apabila membicarakan perihal orang yg fasiq. (Hadist Maudhu’)
58- Apabila mati salah seorang drp kamu dan setelah selesai kamu mengebumikannya, maka hendaklah salah-seorang yang hadir itu berdiri di sisi kepalanya seraya berkata: Wahai Si Fulan ! Wahai Si Fulanah. Kerana dia (si mati) itu akan mendengarnya. Hendaklah yang bangun itu berkata lagi: Wahai Si Fulan Anak kepada Si Fulanah. Maka si mati itu akan bangun di dalam keadaan duduk. Sebutkanlah apa yang telah menyebabkan dia keluar daripada dunia iaitu syahadah LA ILAHA ILLAH WAHDAHU LA SYARIKALAH …sehingga akhir. (Hadis ini Dho’ief)
59- Tidaklah sia-sia orang yang melakukan solat istikharah , tidaklah menyesal bagi orang yang meminta pandangan orang lain dan tidaklah berlaku aniaya orang yang bersederhana. (Hadist Maudhu’)
60- Baginda Rasulullah s.a.w apabila digunting rambutnya, ataupun mengerat kukunya ataupun jika Baginda s.a.w dibekam, maka Baginda s.a.w akan membawa lebihan tersebut – dari rambut, kuku dan darah yang dibekam – ke tanah perkuburan Baqie’ untuk ditanam. (Hadist Maudhu’)
61- Seorang mukmin yang cerdik itu sentiasa berhati-hati. (Maudhuk: Kasyful Khafa')
62- Wahai manusia sesungguhnya kamu berada di dalam bulan yang agung, bulan di mana di dalamnya lebih baik dari seribu bulan, menjadikan puasa di dalamnya sebagai fardu dan qiyamul lail sebagai ibadah.. (Dha'if, al-Ilal Ibnu Abi Hatim)
63- "Wahai Jibril, ceritakan kepadaku tentang sifat neraka dan sifat jahannam?" Maka Jibril menjawab: "Sesungguhnya Allah Tabaraka Wa Taala telah memerintahkan jahannam supaya menyalakan apinya selama seribu tahun sehingga menjadi putih. Kemudian memerintahkannya lagi supaya menyalakan apinya selama seribu tahun sehingga menjadi merah. Kemudian diperintahkannya lagi supaya menyalakannya selama seribu tahun sehingga menjadi hitam yang gelap.." (Maudhu', al-Haitsami)
64- Janganlah kamu banyak bercakap selain dari zikir kepada Allah. Maka sesungguhnya banyak bercakap selain dari zikir kepada Allah itu mengeraskan hati dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia kepada Allah ialah yang keras hatinya (Dha'if)
65- Apabila sampai salah seorang dari kamu ingin masuk ke saf dan saf itu telah penuh, maka hendaklah ia menarik seorang untuk bersama dengannya di tepinya. (Dha'if)
66- Wali abdal untuk umat ini ada 30 orang seperti Ibrahim Khalilur Rahman. Ketika seorang mati, maka Allah akan menggantikan tempatnya dengan seorang lelaki lain. (Maudhu')
67- Tidak lebih Abu Bakar dari kamu dengan banyaknya berpuasa dan solat. Tetapi dengan sesuatu yang hebat di dalam hatinya. (Tiada sumbernya)
68- Tahiyat Ka'bah adalah tawaf. (Tiada sumbernya)
69- Sesungguhnya seorang hamba apabila mendirikan solat maka sesungguhnya dia berada di dalam pemerhatian Allah. Apabila dia selesai sembahyang dan berpaling, Tuhan berfirman kepadanya: Wahai anak Adam, kepada siapa engkau mahu berpaling? Kepada yang mereka yang lebih baik untuk engkau daripadaKu? Anak Adam, hadapkanlah solat engkau kepadaKu, maka Aku bagi engkau adalah sebaik-baik yang patut dipalingkan kepadanya. (Dhaif jiddan)
70- Telah terlintas di dalam hati Musa: "Adakah Allah itu tertidur?" Maka Allah mengutus malaikat kepadanya dan tidak menidurkannya selama tiga hari serta memberikannya dua buah botol. Botol itu dipegang pada kedua-dua tangannya. Dia diperintahkan supaya menjaga botol berkenaan. Kemudian dia tertidur. Kedua-dua tangannya hampir berlaga. Diapun terjaga serta menjauhkan semula jarak kedua tangan yang memegang botol. Lalu dia kembali mengantuk dan tertidur sehingga berlagalah kedua-dua tangannya. Dan terpecahlah dua botol itu. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah telah memberi perumpaan kepada Musa, kalaulah Allah itu tertidur sudah pasti langit dan bumi tidak terkendali. (Dha'if)
71- Pandangan/melihat itu merupakan satu panahan dari panahan-panahan Iblis. Barangsiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, nescaya Allah akan memberikannya keimanan yang dirasakannya amat manis di dalam hatinya. (Dha'if Jiddan/sangat lemah)
72- Wudhu' hendaklah diulangi apabila darah mengalir keluar dari hidung. (Maudhu')
73- Iman bukanlah dengan angan-angan dan juga bukan dengan hias-hiasan tetapi apa yang tetap di dalam hati serta membenarkannya dengan perbuatan. (Maudhu')
74- Daabbah (binatang melata) akan keluar dengan tongkat Musa a.s. dan cincin Sulaiman a.s. Ia berkata ini: "Wahai mukmin." Dan berkata ini: "Wahai kafir." (Munkar)
75- Nabi s.a.w. keluar bersama Abu Bakar ke gua. Mereka berdua masuk. Kemudian datang labah-labah membuat sarang di pintu gua. (Dha'if)
76- Nabi s.a.w. telah terbau kentut seseorang lalu bersabda: "Bangunlah siapa yang kentut, dan berwudhu'lah." Lelaki (yang kentut) itu malu untuk berdiri. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bangunlah siapa yang kentut dan berwudu'lah. Sesungguhnya Allah tidak malu daripada kebenaran." Lalu Ibnu Abbas berkata: "Wahai Rasulullah s.a.w., apakah tidak boleh kami semua bangun dan berwudhu' semuanya?" Baginda s.a.w. menjawab: "Bangunlah kamu sekelian dan berwudhu'lah." (Bathil)
77- Apabila umatku melakukan limabelas perkara ini, bala' bencana akan menimpanya: Apabila ghanimah/rampasan perang berputar-putar di sekitar orang kaya dan berkedudukan, apabila amanah menjadi harta rampasan dan apababila zakat sebagai satu denda (dikeluarkan secara paksaan). (Dha'if)
78- Mencintai dunia adalah kepala/pokok segala dosa kesalahan. (Maudhu')
79- Mencari yang halal itu adalah jihad. Dan sesungguhnya Allah mencintai seorang mukmin yang mempunyai pekerjaan. (Dha'if)
80- Setiap sesuatu itu mempunyai mempelai/pengantin. Mempelai al-Quran adalah surah al-Rahman. (Munkar)
81- Penghulu kepada suatu kaum itu ada khadam kepada mereka. (Dha'if)
82- Hendaklah kamu berubat dengan dua penyembuh: Madu dan al-Quran. (Dha'if)
83- Umaiyah bin Abi Shalt, syairnya beriman tetapi hatinya kafir. (Dha'if)
84- Kebaikan itu tidak akan punah (tidak putus pahalanya). Dosa itu tidak akan dilupakan. Tuhan itu tidak akan tidur. Jadilah sebagaimana yang kamu mahukan sebagaimana yang kamu lakukan maka itulah yang kamu perolehi. (Dha'if)
85- Kesakitan menghadapi malaikat maut itu lebih dahsyat dari seribu pukulan pedang. (Dha'if Jiddan)
86- Bersegeralah beramal sebelum berlaku tujuh perkara: Adakah kamu menunggu sehingga jatuh sakit yang membinasakan, tua nyanyuk, atau kekayaan yang menjahanamkan, atau kefaqiran yang melarat, atau kematian mengejut, atau datang dajjal iaitu sejahat-jahat perkara ghaib yang ditunggu, atau datangnya kiamat, iaitu perkara yang paling dahsyat sekali (Dha'if)
87 - Memberi fatwa dapat menyebabkan diri terjerumus ke dalam neraka. (Dha'if)
88- Takutilah firasat orang-orang beriman. Maka sesungguhnya dia memandang dengan nur Allah. (Dha'if)
89- Dunia adalah rumah bagi yang tiada rumah, harta bagi yang tiada berharta. Yang menghimpun dunia ini ialah orang-orang yang tidak berakal. (Dha'if Jiddan)
90- Jangan akhiri makan kamu dengan meminum air (Tiada sumbernya)
91- Sesungguhnya hati itu berkarat sebagaimana berkaratnya besi. Dan penghilangnya adalah istighfar. (Maudhu')
92- Kami kembali dari jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar. (Tiada asalnya)
93- Barangsiapa yang berbuka satu hari dibulan Ramadhan bukan sebab rukhsah dibenarkan oleh Allah, maka ia tidak dapat di-qadha'kan sekalipun dia berpuasa seumur hidup. (Dha'if)
94- Sesungguhnya Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dalam keadaan merangkak. (Maudhu')
95- Perkara halal yang paling dimurkai Allah ialah talaq. (Dha'if)
96- Apabila Nabi s.a.w. sampai di Madinah, maka wanita, kanak-kanak dan hamba mengucapkan: Thala'al Badru Alaina…..
(Dha'if)
97- Jauhilah hasad. Maka sesungguhnya hasad itu memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu. (Dha'if)
98. Allah S. W. T telah berfirman: Aku adalah Allah, Tiada Tuhan selain Aku. Akulah Raja Segala Raja. Aku memegang hati-hati raja di dalam tangan-Ku. Sesungguhnya apabila hambaKu mentaati-Ku, Aku akan menukar hati raja-raja menjadi kasihan belas serta sayang ke atas mereka. Bila orang ramai (rakyat) mengingkari-Ku, Aku akan mengarahkan hati raja-raja ke arah kemarahan dan dendam ke atas mereka. Dengan demikian raja-raja akan meletakkan mereka dalam kesusahan dan penderitaan. Maka daripada kamu mengutuk mereka (pemimpin yang zalim), adalah lebih baik kembali mengingati-Ku dan merayu kepada-Ku supaya Aku dapat melindungimu daripada kekejaman mereka. (Dha'if jiddan)
99- Hadis azan dan iqamah di telinga bayi. (Dha'if jiddan)
100- Hikmah adalah sesuatu yang hilang dari setiap orang yang bijaksana. Maka apabila dia menemuinya, dia lebih berhak memilikinya. (Dha'if)
No comments:
Post a Comment